Rakyat sudah muak, Pas Kelantan 'suka main angin'
KOTA BHARU 25 Jun - Taktik Kerajaan Pas Kelantan menjanjikan pembinaan projek-projek mega tetapi tidak dilaksanakan sejak 22 tahun, tidak lagi mampu mempengaruhi rakyat negeri ini kerana mereka sudah sedar dengan 'perangai' pemimpin-pemimpin Pas.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rakyat sudah muak dengan kerajaan pimpinan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang disifatkan suka 'bermain angin' untuk mendapat sokongan rakyat.
"Masa mula-mula dapat tahu kerajaan negeri nak bina stadium, pada saya ia satu perkara melucukan. Memang saya penduduk di Bukit Merbau tetapi khabar itu langsung tidak menggembirakan.
"Saya cukup sedar itu hanya satu janji kosong mereka dan sekadar mahu menumpang populariti pasukan bola sepak negeri ini yang sudah maju ke depan kerana dipimpin oleh pemimpin UMNO yang berjaya," kata Harun Shafie (gambar), 55 ketika ditemui.