Selasa, 26 Jun 2012

KERETA HUSAM MUSA JIKA DINNAR EMAS BERJAYA DIPASARAN ????

Dinar KGT didakwa tiada ciri Islam

KOTA BHARU 24 Jun - Bekas Pengarah Eksekutif Kelantan Golden Trade Sdn. Bhd. (KGT), Nik Mahani Mohamad mendakwa, mata wang syariah dinar dan dirham yang dikeluarkan oleh syarikat milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) itu tidak mempunyai ciri-ciri yang dikehendaki Islam.

Nik Mahani mendakwa, sepanjang berada dalam syarikat tersebut sejak tahun 2008 sehingga awal tahun ini, beliau mendapati KGT lebih mementingkan keuntungan berbanding untuk memperkenalkan sistem kewangan yang menghapuskan riba secara keseluruhannya.

Malah, beliau yang pernah membentangkan kertas di satu forum dinar emas peringkat kebangsaan pada tahun 2006 mendakwa, fungsi dan peranan KGT dalam menguruskan jual beli dinar tidak ubah seperti syarikat-syarikat yang mengeluarkan syiling emas konvensional iaitu mementingkan keuntungan.

"Saya ingin nyatakan di sini, jangan terpedaya dengan kenyataan bahawa KGT adalah memperkenalkan mata wang syariah kerana sejak daripada awal mata wang syariah perlu diletakkan di bawah sultan atau baitulmal.

''KGT sebenarnya ditubuhkan oleh dua orang, kemudian saya dipanggil untuk membantu sebelum saya 'ditendang' apabila mereka mendapati saya tidak berguna lagi.

"Syarikat ini ditubuhkan untuk mendapatkan keuntungan, kalau di bawah baitulmal mereka tidak boleh mendapatkan keuntungan, jadi apa KGT buat ialah menjual dinar dan dirham melalui ejen atau wakalah, sekiranya baitulmal yang menempa dinar atau dirham maka rakyat boleh membelinya pada harga kos, maka tidak ada elemen keuntungan," dakwanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia di sini hari ini ketika diminta mengulas mengenai dakwaan wujud skandal salah laku pegawai kanan KGT - syarikat yang mengeluar dan mengedarkan dinar dan dirham Kelantan selepas didedahkan oleh penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz.

Nik Mahani mendakwa, KGT juga terpaksa membayar royalti antara satu sehingga dua peratus ke atas setiap syiling yang dikeluarkan kepada sebuah pertubuhan antarabangsa kerana menggunakan logo serta mengikut piawaian pertubuhan itu.

Dakwanya lagi, peneraju pertubuhan antarabangsa itu adalah individu yang sama menjadi tulang belakang kepada KGT sebelum beliau dipecat dan dibawa masuk semula untuk jawatan tertentu.

"Pada awal dulu kami menerima cadangan yang diberikan oleh individu ini agar dinar yang ditempa adalah di bawah piawaian pertubuhan tersebut kerana diberitahu bahawa ia adalah penting untuk keseragaman syiling sebab bila kita melangkah pada cara pembayaran elektronik akan lebih memudahkan kita untuk membuat transaksi antarabanga.

"Tetapi saya rasakan kenyataan ini meleset sebab yang dipiawaikan oleh Saidina Umar al-Khattab ialah tentang keberatan dinar dan dirham dan sepanjang kerajaan berkhalifah tidak ada satu syiling yang standard untuk sesuatu khalifah dan tidak ada satu logo pun yang menjadi logo kepada kerajaan berkhalifah semasa itu.

"Ini yang telah dimanipulasikan oleh individu tertentu, saya rasakan sekiranya kita mengambil pendekatan sedemikian kita akan mengambil kesempatan ke atas orang ramai yang tidak faham cerita ini, ia semacam penjajah atas mata wang Islam yang mahu kita bangunkan," dakwanya yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam sistem kewangan Islam serta terlibat secara langsung untuk penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad.

Dakwa Nik Mahani, atas sebab-sebab tersebut beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan pada awal tahun ini.

"Saya berpendapat KGT telah ditubuhkan atas maksud yang diberikan arah tuju oleh 'dua orang yang berkenaan sahaja' dan saya dipanggil untuk beri jasa saya dan apabila keadaan bertukar saya tidak dikehendaki lagi untuk menyumbang tenaga," dakwanya.

Mengulas mengenai laporan polis yang dibuatnya berhubung salah laku seorang pegawai kanan KGT pada penghujung Januari lalu, Nik Mahani berkata, ia diserahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan enggan mengulas lanjut.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...