
Singapura: Semalam, bekas pemandu teksi Singapura, Albert Lim Meng Hie, 54 tahun, mengaku bersalah atas tuduhan mencabul kehormatan tiga wanita dengan membuat rakaman dalam skirt mereka.
Perbuatan Lim terbongkar apabila seorang penumpang wanita yang menaiki teksinya pada 30 Jun 2009 membuat laporan polis setelah mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena.
Penumpang itu, seorang mahasiswi berusia 21 tahun, perasan ada suatu alat diletakkan di tempat letak tangan teksi itu.
Beliau memerhatikan alat itu diarahkan ke kakinya dan mengesyaki bahawa alat tersebut merupakan sebuah kamera pena, serupa alat yang pernah beliau lihat dalam laman produk www.alibaba.com.
Mahkamah diberitahu bahawa mahasiswi itu tidak bersemuka dengan bekas pemandu teksi berkenaan tetapi sebaliknya beliau mengambil gambar alat kamera pena itu menggunakan kamera telefon bimbitnya.