Translate

09/01/2011

Bekas pemandu teksi mengaku bersalah rakam video dalam skirt wanita

Singapura: Semalam, bekas pemandu teksi Singapura, Albert Lim Meng Hie, 54 tahun, mengaku bersalah atas tuduhan mencabul kehormatan tiga wanita dengan membuat rakaman dalam skirt mereka.

Perbuatan Lim terbongkar apabila seorang penumpang wanita yang menaiki teksinya pada 30 Jun 2009 membuat laporan polis setelah mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena.

Penumpang itu, seorang mahasiswi berusia 21 tahun, perasan ada suatu alat diletakkan di tempat letak tangan teksi itu.

Beliau memerhatikan alat itu diarahkan ke kakinya dan mengesyaki bahawa alat tersebut merupakan sebuah kamera pena, serupa alat yang pernah beliau lihat dalam laman produk www.alibaba.com.

Mahkamah diberitahu bahawa mahasiswi itu tidak bersemuka dengan bekas pemandu teksi berkenaan tetapi sebaliknya beliau mengambil gambar alat kamera pena itu menggunakan kamera telefon bimbitnya.
Kemudian beliau menunjukkan gambar-gambar tersebut kepada para pegawai polis yang kemudiannya menjumpai pena kamera itu di apartmen bekas pemandu teksi berkenaan di sebuah kondominium pada hari yang sama.

Lima klip video rakaman dalam skirt yang disimpan dalam pena itu ditemui pegawai cawangan forensik jenayah teknologi di Jabatan Siasatan Jenayah Singapura (CID).

Atas kesalahan itu, Lim akan dijatuhi hukuman pada Jumaat depan.

Dua lagi tuduhan membuat rakaman dalam skirt dua lagi mangsa pada April dan Jun 2009 akan diberi pertimbangan oleh hakim ketika menjatuhkan hukuman.

Sebelum itu dalam kes berasingan, seorang lelaki didapati bersalah menggunakan kamera pena yang sama.

Disember 2010, seorang pengurus jualan Soo Ee Hock, 35 tahun, merupakan pengguna kamera pena pertama yang didapati bersalah.

Pengurus jualan berkenaan dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan atas 12 kesalahan membuat rakaman video dalam skirt.

Dia sedang membuat rayuan terhadap hukuman ke atasnya dan dibenarkan ikat jamin RM47,430.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...