Kumpulan Harimau
Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) masih lagi DIKLASIFIKASIKAN SEBAGAI KUMPULAN
PENGGANAS oleh kerajaan Malaysia sejak 12 November 2014, kata Menteri Dalam
Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, beliau mempunyai asas yang kukuh untuk mengekalkan status kumpulan itu
berdasarkan
maklumat perisikan dan keselamatan terkini daripada pihak berkuasa seperti
Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain agensi kawal selia atau pengawasan
yang berkaitan.
"Saya ingin menegaskan
bahawa penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas adalah tertakluk kepada
kuasa Menteri Dalam Negeri yang diperuntukkan oleh undang-undang," katanya
dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan tersebut susulan gesaan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas semalam
supaya Muhyiddin selaku Menteri Dalam Negeri mengkaji semula
kedudukan LTTE sebagai kumpulan pengganas.
Muhyiddin berkata PEGUAM NEGARA TIDAK MEMPUNYAI
APA-APA KUASA di bawah undang-undang untuk mencampuri urusan yang
berada di bawah bidang kuasa Menteri Dalam Negeri.
Mengikut Seksyen 66B (1)
Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan dan Hasil Daripada
Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, Menteri Dalam Negeri berkuasa untuk
menyenaraikan individu atau kumpulan yang terlibat dalam kegiatan keganasan
sebagai Entiti Yang ditentukan,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa,
kumpulan itu dipercayai masih mempunyai ideologi yang boleh menimbulkan
ancaman terhadap ketenteraman awam dan keselamatan negara.
"Justeru, adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk mengambil
tindakan mengikut saluran undang-undang bagi membendung sebarang bentuk
penyebaran ideologi dan kegiatan yang berkaitan kumpulan ini,” katanya.
Untuk rekod, selain Malaysia, beberapa buah negara lain turut mengisytiharkan
dan mengekalkan LTTE sebagai kumpulan pengganas dalam senarai negara
masing-masing, antaranya, India, Kanada, Amerika Syarikat dan United
Kingdom, kata Muhyiddin.
Semalam, 12 individu yang didakwa menyokong LTTE termasuk Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G. Saminathan dan ADUN Seremban Jaya P.
Gunasekaren akan dibebaskan selepas Peguam Negara membuat keputusan untuk
menghentikan prosiding terhadap mereka.
Dalam kenyataan media 11 muka surat, Thomas memutuskan tiada prospek yang jelas
untuk sabitan terhadap mana-mana 12 tertuduh ke atas mana-mana 34 pertuduhan
yang dihadapi mereka.
- BERNAMA