KUALA LUMPUR: Sembilan lagi pegawai kanan polis termasuk beberapa Ketua
Polis Daerah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi
membantu siasatan berhubung sindiket perjudian dalam talian dan pengubahan wang
haram.
Dengan perkembangan terbaru itu, sehingga kini seramai 17 pegawai dan anggota
pasukan keselamatan itu disiasat SPRM berkaitan
kes berkenaan. Sebelum ini 8 pegawai dan anggota polis ditahan SPRM bagi
membantu siasatan kes itu.
Sumber SPRM berkata, 9 pegawai kanan itu dipanggil ke ibu pejabat SPRM di
Putrajaya hari ini untuk diambil keterangan dan setakat ini tiada tangkapan
dibuat.
“Proses mengumpul keterangan sedang giat dijalankan dan sebanyak 736
akaun dibekukan dengan jumlah penyitaan lebih kurang RM101 juta.
“DUA SUSPEK UTAMA KES INI AKAN
DIBAWA KE MAHKAMAH MAJISTRET PUTRAJAYA UNTUK DISAMBUNG REMAN ESOK,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sumber berkata, sebanyak 39 saksi sudah dirakam percakapan manakala 9
daripada 19 individu yang ditahan masih direman.
“Gerakan mengesan saki-baki sindiket ini ditumpukan kepada agensi
penguatkuasaan yang disyaki terlibat dan fasa seterusnya ialah memberi fokus
kepada individu atau syarikat yang dikenal pasti terlibat dalam pengubahan wang
haram.
“Sebagaimana yang ditegaskan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM (Azam Baki)
sebelum ini pihak yang terlibat diminta segera tampil ke SPRM bagi membantu
siasatan sebelum tindakan tegas diambil terhadap mereka,” kata sumber itu.
Sumber berkata, SPRM MEMBERI MASA SELEWAT-LEWATNYA
HINGGA ISNIN INI UNTUK MEREKA MENYERAH DIRI sebelum SPRM mengambil
tindakan menahan mereka.
“Individu dan syarikat yang telah dibekukan akaun mereka juga wajar tampil
ke SPRM untuk memberi keterangan mereka. Jangan tunggu sehingga tindakan tegas
diambil terhadap mereka,” kata sumber itu.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Zamri
Yahya sebelum ini berkata, polis sudah memulakan siasatan dalaman melibatkan
pelbagai aspek terhadap semua pegawai dan anggota pasukan itu yang ditahan.
Beliau berkata, semua pegawai dan anggota polis yang
ditahan itu disyaki salah guna kuasa melindungi sindiket itu serta menerima
habuan dalam bentuk wang ringgit dan lain-lain.
Semalam, Bernama melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata
pihaknya mengesan ratusan syarikat yang diwujudkan bagi mengaburi pihak
berkuasa berhubung sindiket berkenaan.
SPRM turut menyita 23
kenderaan mewah pelbagai jenis antaranya Ford Mustang, Rolls Royce, Bentley,
Ferrari dan Porshe serta beberapa motosikal berkuasa besar dimiliki ahli
sindiket dipercayai hasil kegiatan haram. – FMT
Rujukan: KLIK DISINI