SEMALAM aku membaca kisah seorang pegawai polis
yang meninggal dunia di Kelantan akibat tembakan di kepalanya. Kalau
ikut laporan akhbar, arwah pernah memberitahu keluarganya yang dia tertekan
dengan tugasannya. Siasatan sebenar punca kejadian macam manapun sedang
berjalan.
Semalam juga aku membaca kisah sepasukan anggota khas polis diserang sebelum mereka berjaya menembak mati
tiga penjenayah tegar dalam insiden berbalas tembak di Tangkak, Johor.
Dan beberapa hari sebelumnya aku membaca kisah ketua polis daerah dan pegawai kanan polis di
Melaka ditangkap oleh SPRM
kerana disyaki
mengambil rasuah.
Baik, antara rasuah, stress dan pengorbanan...
Menjadi anggota polis, sama ada di Batang Lupar,
Sarawak atau di Los Angeles, Amerika Syarikat, dari Tasek Malaya, Indonesia
membawa ke Vladivostok, Rusia - bukan satu pekerjaan yang mudah.
Selain menjadi sasaran penjenayah, mereka juga menjadi sasaran 'persepsi'
daripada orang awam.
Kalau berharta sedikit,
dikata makan rasuah.
Kalau garang sedikit, dianggap samseng. Kalau
kasar sedikit, dianggap kurang ajar. Kalau menembak, dianggap 'penjenayah berlesen'.
Kalau bersopan santun,
dianggap lembik.
Kalau bertolak ansur, dianggap 'boleh kowtim', kalau
berdiplomasi, dianggap penakut.
Kalau bertegas dengan
orang Melayu, dikata tak bantu bangsa sendiri. Kalau
bertegas dengan kaum lain, dianggap perkauman.
Tetapi nak salah masyarakat sepenuhnya pun tak
boleh juga. Di saat ada pegawai dan anggota polis berkorban masa dan nyawa
untuk membanteras jenayah, ada juga rakan mereka yang masih 'makan suap'. Di
saat ada pegawai dan anggota mereka yang jujur dan berhemah, masih ada yang
lalai dan cuai. Di saat ada pegawai dan anggota mereka yang bertugas dengan
penuh integriti dan berdedikasi, masih ada yang membuat onar dan memalukan panji
pasukan sendiri.
Sebenarnya dalam mana-mana organisasi pun masalah
yang sama tetap ada. Namun, masalahnya masyarakat tak boleh menerima perkara
tersebut jika terjadi dalam PDRM. Masyarakat mahu PDRM tegas, adil dan
berhemah! Masyarakat mahu PDRM mesra, cepat dan betul!
Jadi pada yang dah ada dalam pasukan atau
berkira-kira hendak menjadi sebahagian daripada mereka yang dalam panji Sang
Saka Biru, inilah
cabaran paling besar buat mereka.
Bekerja
dalam tekanan, bekerja dalam imbuhan yang tak seberapa, bekerja dalam bahaya,
bekerja dalam suasana yang tidak selesa...itu adalah ramuan dan rempah ratus
yang terpaksa mereka lalui kalau mahu bergelar polis.
Namun percayalah, inilah tugas yang sangat mulia
dan besar ganjarannya di sisi Tuhan.
Jadi tepuk dada tanya selera.
Teruskan berjuang demi agama, bangsa dan negara
atau undur diri saja, andai itu pilihan terbaik yang ada.
Just wanted to share