OPS BELOT PERLU DITERUSKAN TERUTAMA DIPUSAT-PUSAT HIBURAN DISELURUH MALAYSIA.
KUALA LUMPUR: Ops Belot bagi memerangi rasuah mengesan lebih 24
anggota membabitkan lima agensi penguatkuasaan menerima wang sogokan
secara bulanan sebagai balasan melindungi pengusaha cakera padat digital
(VCD) dan cakera video digital (DVD) cetak rompak di sekitar Pulau
Pinang.
Berdasarkan maklumat, didapati pegawai penguat kuasa dari agensi seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) terbabit dalam kegiatan melepas dan melindungi pengusaha berkenaan dan diberi habuan bulanan.
Sumber memberitahu, pemantauan dan siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak beberapa bulan lalu menunjukkan modus operandi kegiatan ini bermula dengan anggota penguat kuasa terbabit melakukan pemeriksaan di premis perniagaan VCD dan DVD cetak rompak di sekitar Pulau Pinang.
"Setelah mendapati premis tersebut menjual VCD dan DVD cetak rompak, maka sasaran akan berjumpa terus dengan pengusaha untuk berbincang.
"Dalam perbincangan itu, sasaran akan meminta
bayaran wang rasuah secara bulanan untuk tidak mengambil tindakan
penguatkuasaan terhadap pengusaha dan seterusnya bertindak melindungi
perniagaan VCD dan DVD cetak rompak tersebut pada masa akan datang.
"Bayaran wang rasuah secara bulanan ini akan
dibayar sama ada secara tunai terus kepada sasaran atau melalui akaun bank
(samada akaun bank sendiri atau proksi) yang diberi oleh sasaran kepada
pengusaha VCD dan DVD cetak rompak," katanya.
Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Jamidan Abdullah
mengesahkan perkara ini.
Dalam pada itu, kata sumber berkenaan, selagi bayaran
dibuat, pengusaha premis perniagaan VCD dan DVD cetak rompak bebas menjalankan
perniagaan tanpa sebarang tindakan penguatkuasaan.
"Tangkapan telah dilakukan oleh Cawangan
Perisikan Khas terhadap 24 individu yang terlibat.
"Kesemua akan didakwa pada waktu terdekat dan ada
yang dikenakan tindakan tatatertib," katanya.