KUALA
LUMPUR 6 Nov. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepatutnya
bersikap proaktif dalam isu mesin judi dengan mula menyiasat semua Ketua Polis
Negeri dan semua Ketua Polis Daerah.
Presiden
Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, siasatan itu
perlu berdasarkan kepada statistik yang dikeluarkan oleh pihak polis mengenai
serbuan yang dibuat di premis perjudian.
Katanya,
statistik yang dikeluarkan oleh polis pada 4 November lalu dilihat gagal untuk
terus memerangi mesin judi di seluruh negara.
“Jika
dilihat pada keseluruhan serbuan yang dilakukan bermula 26 Oktober sehingga 2
November lalu, jumlah serbuan adalah sebanyak 9,663 di seluruh negara.
“Daripada
serbuan tersebut, hanya 168 sahaja yang berjaya. Pihak polis mempunyai data
mereka sendiri bagi premis judi ini namun serbuan tersebut hanya berjaya
sebanyak 1.7 peratus sahaja dan perkara ini adalah amat mengecewakan banyak
pihak termasuk JMM sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam
pada itu, Azwanddin turut mengulangi kenyataannya bahawa sehingga kini, tidak
ada sebarang dakwaan terhadap tauke judi tersebut.
Beliau
tertanya-tanya di mana tauke judi tersebut sehingga seorang pun tidak dapat
dikesan sedangkan pihak polis selama ini amat cekap dalam tugasan menjejak
penjenayah seperti yang diketahui di seluruh dunia.
Tambahnya,
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar juga mengatakan terdapat
penyangak dan duri dalam daging di dalam struktur organisasi mereka.
Sehubungan
itu katanya, jika perkara tersebut benar, maka SPRM hendaklah menyiasat kenyataan
Ketua Polis Negara dan membantu menjejaki dalang di dalam pasukan polis.