KUALA LUMPUR 25 Jun - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini membuat laporan polis bagi menjaga nama baik dan integriti sebagai sebuah badan bebas agar siasatan lanjut dijalankan untuk memastikan tiada mana-mana pihak sewenang-wenangnya melemparkan tuduhan memfitnah.
Setiausahanya, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata, beliau membuat laporan polis berdasarkan dakwaan yang dibuat oleh bekas ahli UMNO, Zulkifli Ismail seperti disiarkan di dalam akhbar Harakah bilangan 1750, 11 hingga 14 Jun 2012 di muka surat N24.
“SPR memandang serius dakwaan dan tuduhan ini. Zulkifli mengaku bahawa pernah mengundi dua kali pada pilihan raya umum tahun 80-an di dua pusat pengundian iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang dan Kunci Air, Tanjung Karang.