Translate

28/06/2012

SYABAS !!! BERTINDAK SEGERA SEBELUM TERLAMBAT


TANAH MERAH 25 Jun - Kegagalan kerajaan Pas menunaikan janji yang dibuat selepas 22 tahun memerintah, telah membuka mata sekumpulan 137 ahli dan penyokong Pas dari kawasan Manal 1 di sini, bertindak menyertai UMNO.

Borang penyertaan sebagai ahli UMNO diserahkan bekas ketua cawangan Pas Manal 1, Joni Yaakob kepada Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz pada majlis Selamat Tinggal Pas, di sini malam tadi.

Majlis yang diadakan di pekarangan rumah Joni itu, turut dihadiri Pegawai Khas Agama Menteri Besar Terengganu, Kamal Kamarudin Omar yang meluangkan masa menyampaikan ceramah dihadiri kira-kira 2,000 orang.

Joni berkata, beliau meninggalkan Pas kerana sudah tidak percaya dengan perjuangan parti tersebut dalam membela kepentingan Islam di negara ini.

Katanya, Pas kini hanya mementingkan politik semata-semata dan dalam masa yang sama kebajikan rakyat khususnya di kawasan itu langsung tidak pernah dibela.

"Saya berasa sangat kecewa dengan Pas, sepanjang 35 tahun berada di dalam parti itu, Pas langsung tidak pernah berbakti untuk penduduk kawasan ini.

"Apa yang Pas tahu, mengadakan ceramah seterusnya menyerang UMNO dengan pelbagai tohmahan. Adakah itu parti Islam yang boleh kita harapkan," katanya.

Beliau melihat UMNO lebih bertanggungjawab dan sering membela nasib rakyat khususnya di kawasan Manal 1.

Jelasnya, hanya UMNO yang mampu membela nasib rakyat dan memperjuangkan agama, bangsa dan negara dengan lebih berkesan.

"Saya yakin akan ada lebih ramai lagi ahli Pas menyertai UMNO selepas ini, memandangkan rakyat kini sudah tidak mempercayai perjuangan Pas," katanya.

Dalam pada itu, Ikmal Hisham ketika ditemui percaya ahli dan penyokong Pas terlibat menyertai UMNO atas kesedaran bahawa hanya parti tersebut yang mampu memperjuangkan nasib mereka.

Katanya, mereka kini mula menyedari UMNO sahaja yang mampu memperjuangkan agama, bangsa dan negara berbanding Pas yang hanya mementingkan politik.

Komitmen UMNO itu jelas beliau, dapat dilihat melalui kesungguhan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan pemimpin-pemimpin bahagian yang sentiasa cakna kepada rakyat Kelantan.

"Tiada sebarang desakan ataupun janji-janji diberikan kepada 137 orang yang menyertai UMNO itu. Mereka sertai UMNO atas kesedaran dan keinsafan sendiri," katanya.

Menurut Ikmal Hisham, UMNO Tanah Merah akan terus membela nasib rakyat di sini demi memberi kehidupan yang lebih baik kepada mereka.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...