AGAK MUSTAHIL
jika difikirkan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad tidak dapat menjangka ada
sesuatu yang tidak kena dengan permohonan empat parti pembangkang yang
dipimpinnya dalam Pakatan Harapan (PH) untuk berdaftar sebagai sebuah entiti
politik.
Sebagai seorang ahli politik veteran
yang terkenal dengan ketegasan dan disiplin “hati keringnya” sebagai seorang
doktor, sudah tentu beliau tidak akan membiarkan PERMOHONAN ITU DIPETI-SEJUKKAN oleh
Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS).
Dr Mahathir pernah membuat pengakuan
bahawa sebagai seorang doktor, falsafah pentadbirannya ialah jika sesuatu isu
itu perlukan tindakan segera beliau sentiasa bersedia melakukannya demi
‘menyelamatkan kepentingan lebih besar’.
Lantas bila beliau merungut dan memaksa
diri untuk menemui Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ia
menjentik sedikit keraguan sama ada beliau sebenarnya hanya ‘berlakon’ untuk
menjadikan isu berkenaan suatu sensasi politik.
Nasibnya agak kurang baik kerana pada
Isnin 20 November lalu tarikh beliau mahu bertemu Zahid, kebetulan Timbalan
Perdana Menteri yang pernah ditahannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri
(ISA) kerana dilihat condong kepada politik saingannya, Anwar Ibrahim, Zahid
tiada di pejabat.