BUKIT KAYU
HITAM: Bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia Datuk S AMBIGA
perlu berani bertanggungjawab dan tidak boleh bersikap seperti ‘MEMBALING BATU SEMBUNYI TANGAN’, kata Timbalan Perdana Menteri,
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid
berkata ia ekoran tindakan Ambiga memberikan data dan maklumat mengaitkan
pemimpin tertinggi PAS menerima wang daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak kepada editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.
"Dari
dahulu kita telah mengetahui sikap Ambiga iaitu berani bila ada di belakang, tak berani bila ada di hadapan. Beliau mengelakkan diri ditemui
wartawan... tidak ada keberanian.
"Kalau
ada keberanian dengan bukti diberikan kepada Sarawak Report ini, mesti
berani... beliau tidak harus bersembunyi untuk menyatakan perkara itu. Beliau harus
berani bertanggungjawab dengan semua data dan maklumat diberikan itu,"
katanya.
Beliau
berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja dan
mempengerusikan Mesyuarat Kedua Peringkat Tertinggi (HLC) mengenai Keselamatan
dan Kawalan Sempadan Negara Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan
Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam yang baharu bagi Fasa Satu hari ini.
Baru-baru
ini Brown menamakan Ambiga sebagai sumber maklumat terhadap dakwaan PAS
menerima RM90 juta daripada perdana menteri.
Dalam
kenyataan pembelaannya pada 11 Oktober lepas terhadap saman yang difailkan oleh
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Brown mendakwa beliau dan Ambiga
bercakap mengenai Najib, 1MDB dan PAS pada Julai 2016.
Pembelaan
itu difailkan Brown dalam saman fitnah Hadi di Mahkamah Tinggi London pada
April lepas dengan membabitkan artikel yang mendakwa PAS menerima dana
berjumlah RM90 juta sebagai habuan menyokong Barisan Nasional.
Artikel
Sarawak Report bertajuk 'As Najib denies all over 1MDB let's not forget his
many other criminal connections' disiarkan menerusi portal Sarawak Report pada
6 Ogos 2016.
Ahmad Zahid
sehubungan itu menyatakan simpatinya kepada PAS yang mana parti berkenaan tidak
boleh dianiaya dengan perkara yang tidak benar seumpama itu.
"Kalau
mahu berpolitik, berpolitik secara berhemah... ini amat tidak kredibel. Selama
ini seolah-olah apa sahaja yang ditulis Sarawak Report ini dianggap sebagai
gospel truth (benar semata-mata)," katanya.