Kerajaan menafikan Jabatan
Meteorologi gagal mengeluarkan amaran awal berhubung hujan lebat dan ribut di
Pulau Pinang.
Timbalan
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Abu Bakar Mohamad Diah berkata,
jabatan itu mengeluarkan dua amaran pada 1 dan 4 November, yang disiarkan
televisyen.
“Pada 1 November kita sudah keluarkan amaran kuning, kita beritahu
(sistem) pemantauan menunjukkan hujan lebat dijangka berlaku dalam masa satu
atau dua hari,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya lagi, amaran seterusnya iaitu tahap jingga keluar pada jam 6
petang 4 Oktober untuk memberi amaran yang negeri itu dijangka ditimpa hujan
lebat berterusan.
Abu Bakar
menjawab soalan Tan Kok Wai (DAP-Cheras) berhubung sama ada Jabatan Meteorologi
gagal menjalankan tugasnya dan hanya mengeluarkan amaran beberapa jam sebelum
cuaca buruk.
“Adakah
jabatan gagal mengumumkan ramalan cuaca lebih awal? Bukankah ini satu
kecuaian, atau kelemahan disebabkan jabatan meteorologi tidak dilengkapi sistem yang cekap
atau (mungkin) peralatan telah ketinggalan zaman?” soalnya.
Abu Bakar
membalas kenyataan itu dengan berkata, “Yang Berhormat tak tengok televisyen,
kita telah maklumkan dalam siaran televisyen…Kita ada alat yang bagus.”
“Yang
Berhormat kalau tak tahu boleh belajar, saya boleh beritahu secara baik. Kalau
tak tahu jangan cakap yang bukan-bukan,” katanya.
Notis kuning bermaksud keadaan
cuaca yang tidak memberikan ancaman segera, sementara notis jingga bermakna
penduduk di kawasan yang terlibat perlu bersedia untuk menghadapi keadaan
cuaca. Notis Merah pula menandakan keadaan cuaca yang sangat buruk dan penduduk
perlu keluar dari zon bahaya.
Semakan Malaysiakini mendapati
amaran tersebut memang dinyatakan melalui laman Facebook jabatan itu pada 1
November lalu, namun tidak menemuinya di Twitter.
Sumber: Malaysiakini