KAHERAH - Pihak tentera menggulingkan Presiden Mesir pertama yang dipilih melalui proses demokrasi, Mohammed Morsi kelmarin, setahun selepas beliau berkuasa.
Tentera kemudian menubuhkan sebuah pentadbiran sementara yang diketuai oleh ketua hakim, Adly Mansour sebagai pemangku presiden Mesir.
"Saya bersumpah akan memulihara sistem pentadbiran negara, menghormati perlembagaan dan undang-undang serta melindungi kepentingan rakyat," kata Mansour dalam majlis angkat sumpah di Mahkamah Agung Perlembagaan Mesir di sini semalam.
Angkatan bersenjata Mesir turut menggantung perlembagaan dan membuat perancangan untuk mengadakan pilihan raya Presiden yang baharu.
Morsi menyifatkan tindakan tentera itu sebagai rampasan kuasa sepenuhnya.
Selepas pengumuman mengenai rampasan kuasa tersebut disiarkan di televisyen, berjuta-juta penunjuk perasaan anti-Morsi bersorak gembira.
Mereka berpesta sambil menjerit "Tuhan Maha Besar" dan "Hidup Mesir".