Tindakan berterusan perlu diadakan oleh pihak-pihak berkuasa yang berkaitan ke atas restoran, kedai makan yang kian membiak disekitar Kuala Terengganu dan khasnya di Daerah Marang. Tapi apa yang berlaku pemeriksaan hanya dilakukan apabila ada laporan atau teguran yang dibuat oleh pelanggan.
Janganlah sampai perkara sedemikian berlaku seperti berikut:
BANDARAYA MELAKA - Dua restoran yang ditakungi air dan dijadikan tempat ‘ternakan’ lipas di Melaka Sentral diarahkan tutup serta-merta dalam operasi bersepadu dijalankan Jabatan Kesihatan negeri di sini, semalam.
Air bertakung di bahagian dapur dan lipas yang ditemui dalam bekas kedap udara yang sudah tidak lagi digunakan juga boleh dilihat 'merayap' pada dinding premis ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 11.30 pagi.
Menurut Timbalan Pengarah Kesihatan negeri Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Mohd Khaidir Abd Hamid, kedua-dua premis berkenaan antara tujuh yang diperiksa dalam operasi bersepadu yang disertai 30 anggota dari Pejabat Kesihatan Daerah, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
“Selain masalah makhluk perosak, premis tersebut turut melakukan pelbagai kesalahan membabitkan kebersihan termasuk pengendalian makanan dan keadaan dapur yang tidak diselenggara.
“Dua premis itu diarahkan tutup serta-merta selama 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 bagi membolehkan pemilik premis melakukan kerja-kerja pembersihan sebelum dibenarkan untuk beroperasi sekiranya pihak kita berpuas hati dengan tahap kebersihan mereka,” katanya.
Mohd Khaidir yang mengetuai operasi itu berkata, kesemua premis yang telah menjalankan perniagaan lebih lima tahun di terminal bas dan teksi itu turut melakukan kesalahan apabila pekerja atau pengendali makanan tidak memakai apron serta penutup kepala.
“Lima premis lain keseluruhannya memuaskan namun hanya diberi arahan kerja pembetulan seperti pemakaian pelindung, pelupusan sampah lebih teratur dan penyelenggaraan di dapur.
“Mereka turut diberi teguran dan amaran mengenai penyediaan kemudahan premis seperti lantai pecah yang memerlukan penambahbaikan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun tidak berpuas hati dengan tahap kebersihan premis makanan di Melaka Sentral dan akan terus membuat pemantauan berterusan selari dengan arahan kementerian.
“Operasi akan terus dilakukan iaitu kira-kira dua kali sebulan bagi memantau tahap kebersihan dan kualiti makanan yang disediakan untuk dijual kepada orang ramai.
“Amalan kebersihan dan pengendalian makanan yang baik boleh membantu mengekalkan dan meningkatkan imej bersih negeri Melaka,” katanya.