KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Pergerakan Pemuda Umno hari ini
meminta kerajaan supaya mengemukakan kajian terperinci kepada umum berkenaan
kenaikan kadar tol lebuh raya dan kenaikan tambang pengangkutan awam.
Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun berkata kajian merangkumi
jumlah trafik, unjuran kenderaan masa hadapan dan keuntungan syarikat konsesi
perlu diambil kira sebelum sebarang persetujuan kenaikan dicapai.
"Malah ada sesetengah lebuh raya yang kini bukan lagi dianggap
sebagai laluan alternatif kepada pengguna malah menjadi kewajipan laluan harian
mereka sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.
"Dengan bahasa kasarnya 'bayar tol untuk masuk dalam traffic jam'
dan kalau dinaikkan tambang akan mengundang kemarahan kepada pengguna jalan
raya," katanya kepada pemberita ketika mengulas isu itu.