Selasa, 17 Disember 2013

'Bayar tol lebih untuk masuk dalam traffic jam'


KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Pergerakan Pemuda Umno hari ini meminta kerajaan supaya mengemukakan kajian terperinci kepada umum berkenaan kenaikan kadar tol lebuh raya dan kenaikan tambang pengangkutan awam.

Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun berkata kajian merangkumi jumlah trafik, unjuran kenderaan masa hadapan dan keuntungan syarikat konsesi perlu diambil kira sebelum sebarang persetujuan kenaikan dicapai.

"Malah ada sesetengah lebuh raya yang kini bukan lagi dianggap sebagai laluan alternatif kepada pengguna malah menjadi kewajipan laluan harian mereka sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

"Dengan bahasa kasarnya 'bayar tol untuk masuk dalam traffic jam' dan kalau dinaikkan tambang akan mengundang kemarahan kepada pengguna jalan raya," katanya kepada pemberita ketika mengulas isu itu.


Katanya, berdasarkan beberapa penyelarasan subsidi oleh kerajaan, ia didapati memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat khususnya golongan muda dari kelas pertengahan yang tinggal di kawasan bandar.

Sabtu lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata sudah tiba masanya kadar tol dinaikkan memandangkan perjanjian konsesi menyatakan kadar itu perlu disemak dan dinaikkan pada 2011.


Abdul Wahid berkata kenaikan pada tahun hadapan itu dapat mengelakkan daripada berlakunya peningkatan secara mendadak yang lebih membebankan rakyat apabila masa untuk menyemak semula kadar baharu tiba.

Khairul Azwan turut mencadangkan agar kerajaan memberi pengecualian kadar baharu tarif elektrik kepada sistem pengangkutan awam khususnya LRT agar tiada kenaikan tambang dilaksanakan.

"Kita perlu lihat dari sudut positif iaitu kekalkan tambang rendah untuk meningkatkan penggunaan seterusnya berjimat dari segi pengurangan kos subsidi minyak kenderaan," katanya. BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...