KUCHING, 17 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) mendapat mandat untuk terus memerintah Sarawak selepas mencatatkan kemenangan dengan memperoleh majoriti lebih dua pertiga dalam pertandingan yang paling sengit dalam sejarah negeri ini.
BN memenangi pilihan raya negeri ke-10 dengan memperoleh 55 daripada 71 kerusi, kurang tujuh kerusi daripada yang dimenangi gagasan pemerintah pada 2006, namun telah meleburkan harapan pembangkang yang berjuang habis-habisan untuk menafikan kemenangan majoriti dua kepada BN, malah mengimpikan untuk membentuk sebuah kerajaan baru.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merakamkan penghargaan kepada rakyat Sarawak kerana terus meletakkan sepenuh kepercayaan kepada BN selaku parti yang memerintah.