Tidak dapat tidak hendak dielakkan perkara ini kerana itulah hakikatnya yang sebenar – benarnya. Sudah tidak dapat disangkalkan lagi oleh puak – puak DAP bahawasanya mereka adalah sebuah parti yang cukup kuat fahaman Chauvinistiknya didalam Malaysia.
Tetapi mereka yang kerap kali menunding jari terhadap orang lain dan menuduh orang itu yang lebih bersikap rasis terhadap bangsa lain jika hendak dibandingkan dengan mereka kononnya.
Perkara ini sudah tidak dapat dielakkan apabila keputusan Pilihanraya Negeri Sarawak diumumkan semalam. Ia menyaksikan DAP berjaya merampas hampir ke semua kerusi yang ditandingi mereka sekali gus mengalahkan parti SUPP pimpinan Tan Sri George Chan. Malah Presiden SUPP itu tersungkur di kawasannya sendiri.
Namun, itu bukan persoalan pokoknya. Persoalan utama yang perlu ditanya ialah bagaimana DAP berjaya membolot keputusan sedemikian? Dengan menyemai benih – benih Rasisme dikalangan pengikut – pengikutnya dan masyarakat Cina khususnya.
Antara lain, mereka tanamkan didalam pemikiran pengikut – pengikut rasa benci terhadap bangsa lain. Kononnya, hanya mereka sahaja yang layak untuk memerintah dan mengurus tadbir Negeri Sarawak ini.
Seterusnya mereka turut mempertikaikan hak keistimewaan bangsa lain, terutamanya dikalangan Bumiputera Sarawak. Kata mereka, kenapa kelebihan dan keistimewaan tersebut hanya diberikan kepada Bumiputera sahaja? Kenapa tidak diberikan kepada semua?
Kata mereka, adakah ini amalan didalam Gagasan 1Malaysia? Tidakkah dakwaan sedemikian masuk akal bagi mereka yang tidak benar – benar faham mengenai Gagasan yang dicadangkan oleh Perdana Menteri itu?
Umpama senjata makan tuan, pihak yang membela Kerajaan seperti hilang arah untuk menangkis persoalan yang ditimbulkan oleh DAP itu. Mereka dilihat gagal memberikan penjelasan secara konsisten mengakibatkan perkara itu terus terbenam dalam pemikiran pengundi kaum Cina.
Disinilah kita dapat lihat kesilapan yang jelas dan nyata didalam parti komponen Barisan Nasional yang menjaga kepentingan bangsa Cina di Sarawak. SUPP jelas gagal untuk menjangka serangan sedemikian dan tidak pula mempunyai persiapan bagi menjawab pertikaian tersebut.
Maka timbul persoalan dikalangan masyarakat, apa yang SUPP buat untuk menjadi seteru tulen DAP di Sarawak ini? Tidak mungkin mereka tidak ada strategi untuk melawan agenda parti Chauvinis seperti DAP ini?
Kegagalan seumpama inilah yang membuatkan rakyat semakin musykil. Maka tidak dapat dielakkan juga persoalan seperti ini mula berlegar diminda rakyat: ” Sampai bila SUPP mahu mengharapkan Parti Bumiputera untuk terus menyokong mereka?” Sama – samalah kita fikirkan.