Amanat Tuan
Guru Hj Abd Hadi ialah suatu sedutan ceramah umum Hj Abd Hadi Awang di Kampung Benggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981. Sedutan itu telah dicetak
oleh PAS sendiri untuk edaran.
Daripada bukti KERTAS PUTIH mengenai Memali bertarikh 26 Februari 1986, Amanat Hadi telah dicetak dalam empat versi. Pertama dalam tulisan jawi, dicetak oleh bahagian Penerangan PAS Kelantan untuk sebaran pilihanraya kecil Selising, Kelantan pada tahun 1983. Versi latar belakang hitam dengan tulisan rumi, dicetak oleh PAS Pusat dan dua versi lagi (rumi dan jawi) dicetak oleh Sekretariat Pemuda PAS Pusat. Versi latar belakang hitam dapat dilihat dalam rakaman video polis mengenai PERISTIWA MEMALI pada 19 November 1985. Jika bukan PAS yang mengedarkannya di Memali, siapakah lagi?
Lebih jelas lagi Amanat Hadi dikeluarkan dengan restu PAS ialah terdapat versi latar belakang hitam bertulisan rumi seperti di Memali itu masih digantung di dalam Masjid Taqwa Batu 6, milik Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu sejak dahulu hingga ke hari ini.
MENGAPAKAH TIMBUL SEMULA SELEPAS 20 TAHUN BERLALU?
Amanat Hadi ini sepatutnya tidak timbul lagi selepas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bermesyuarat di Pekan, Pahang (Februari 1986) memutuskan bahawa "Amanat Hadi Bercanggah Dengan Islam dan Prinsip Dakwah Islamiah". (Petikan Utusan Malaysia 20 Februari 1986)
Lebih jelas, sepatutnya sudah tidak berbangkit lagi selepas Hj Abd Hadi sendiri gagal menyahut cabaran pengerusi Jawatankuasa Fatwa untuk bermuzakarah sekiranya tidak bersetuju dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa ini. (Laporan Utusan Melayu 20 Februari 1986)
Sebaliknya apa yang berlaku ialah Hj Abd Hadi sendiri membuat penafian dalam akhbar tabloid EKSKLUSIF 21-27 Jun 1999. Beliau mendakwa tidak pernah mengatakan UMNO itu kafir dan dikatakan pula beliau menjelaskan batas-batas iman dan kufur yang termaktub dalam buku Mustika Hadis keluaran Jabatan Perdana Menteri. Seterusnya beliau mencabar untuk bermuzakarah.


