Translate

17/06/2014

Kaji semula syarikat GLC samaada masih relevan....termasuk PERWAJA KEMAMAN & GURUN




Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mencadangkan Kementerian Kewangan (MOF) membuat penilaian semula secara menyeluruh terhadap semua syarikat Badan Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk memastikan sama ada sebahagian daripadanya masih relevan untuk diteruskan.

Ini kerana kebanyakan GLC yang diwujudkan tidak memberi pulangan langsung kepada kerajaan atau pulangan yang diberikan adalah amat rendah.

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Muhamad pada sidang media di parlimen, Isnin berkata ada GLC tidak menepati objektif ia ditubuhkan, tidak membawa pulangam yang memuaskan dan lemah di segi pengurusan syarikat.

"Ada GLC dah berpuluh tahun beroperasi tetapi berulangkali melakukan kesilapan tidak mengikut prosedur perolehan dan sebagainya sehingga menyebabkan ketirisan," katanya.

Jazlan mengambil contoh FELDA dan FELCRA kerana berlaku amalan perolehan yang tidak mengikuti tatacara kewangan.

"Kita juga nak tahu prestasi pengurusan secara keseluruhan FELDA dan FELCRA. Kenapa kedua-dua badan badan ini yang telah beroperasi selama berpuluh tahun masih lagi ada masalah yang boleh dianggap biasa dan tak sepatutnya berlaku tapi masih lagi berlaku," katanya.

Jazlan turut mempersoalkan kewujudan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Kelantan yang kononnya fungsinya adalah pengurusan penanaman padi.

Menurutnya mesyuarat PAC juga membincangkan isu Lembaga Koko yang menghadapi masalah menguruskan pembinaan pusat inovasi dan teknologi koko.

"Kalau pusat penyelidikan sendiri pun tak boleh urus bagaiamana nak maju ke depan?

"Kita nak pastikan duit yang dilaburkan oleh kerajaan dalam GLC dapat membawa pulangan," katanya.

Menurut Jazlan antara perkara yang paling membimbangkan PAC ialah mengenai kelemahan pengurusan berulang dan kebanyakannya melibatkan pembinaan.

Dalam aspek itu, JKR didapati kurang mantap menjalankan tanggungjawabnya sebagai pegawai pengawal projek-projek kementerian.

Antara kementerian yang terbabit dengan kegagalan JKR ialah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya PAC akan memanggil Kementerian Pendidikan dan JKR untuk menjelaskan kegagalan pembinaan sekolah akibat arahan perubahan kerja yang kadang-kadang berlaku selepas kontrak disiapkan.

Manakala JKR juga akan dipanggil untuk menjelaskan kegagalan menyiapkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk KDN serta Projek Lebuhraya Pantai Timur.

Nur Jazlan berkata PAC juga akan memanggil Jabatan Kastam untuk menjawab isu pengurusan mesin pengimbas kargo di pintu masuk udara, darat dan pelabuhan.

"Kerajaan beri peruntukan RM102.7juta untuk membeli mesin pengimbas kargo. Setakat Disember 2013 sebanyak RM69juta telah dibelanjakan untuk membeli 16 mesin berkenaan. Bagaimanapun dua daripada 16 mesin itu kerap rosak.

"Isu di sini sama ada kegagalan mesin itu ditutup untuk beroperasi ada kena mengena dengan kegiatan todak sihat di pintu masuk negara atau tidak?"

Jazlan berkata PAC juga akan memanggil DBKL untuk menjelaskan kelemahan menguruskan lesen iklan dan papan tanda di sekitar Kuala Lumpur.

Katanya DBKL seharusnya dapat meraih hasil lebih besar jika tidak kerana kewujudan iklan dan papan tanda haram tidak berdaftar dam tidak berlesen.

Manakala Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan dipanggil untuk menjelaskan mengenai pengurusan kandungan penyiaran di mana terdapat isu bayaran dibuat tidak mengikut syarat dan kehilangan hasil disebabkan kontrak membuat bahan penyiaran tidak disiapkan oleh kontraktor mengikut tempoh yang ditetapkan.

Katanya PAC juga mahu mendapatkan penjelasan mengenai peruntukan untuk TV-Interaktif yang telah digunakam untuk pembelian program TV1 dan TV2.

Kementerian berkenaan juga akan diminta menjelaskan mengapa 413 program yang bernilai lebih RM50ribu setiap satu tidak mempunyai kontrak formal. - 16/6/14. - OLEH NOOR HASILAH ISMAIL





LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...