Translate

10/11/2011

Rasuah: 4 polis dipenjara, didenda

SHAH ALAM – Dua anggota polis peronda dijatuhi hukuman penjara empat tahun, manakala dua lagi anggota polis peronda dikenakan hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah atas tuduhan rasuah, dua tahun lepas.
Hakim Azhaniz Teh Azman Teh menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM30,000 terhadap Lans Koperal Mohammad Faizatulakma Shamsuddin, 27, atas tiga kesalahan meminta, bersetuju terima dan memperoleh suapan.

Azhaniz juga menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM20,000 terhadap Lans Koperal Mohd Zuraidi Abu Jasam, 26, atas dua kesalahan meminta dan memperoleh suapan.
Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM10,000, masing-masing terhadap Konstabel Zulkfli Jaafar, 29, atas kesalahan bersetuju terima suapan dan Lans Koperal Nor Haffizo Mat Hassan, 27, atas kesalahan memperoleh suapan.
Azhaniz bagaimanapun membenarkan permohonan keempat-empat anggota polis itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sehingga proses rayuan di Mahkamah Tinggi selesai tetapi mengarahkan mereka membayar denda hari ini.
Wang ikat jamin berjumlah RM3,500 setiap seorang yang ditetapkan sebelum ini dikekalkan. – Bernama

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...