Jumaat, 11 November 2011

Keputusan kes SMS ugut 28 November

Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu menetapkan keputusan kes ugutan bunuh melalui SMS yang membabitkan bekas Setiausaha Politik kepada mantan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Idris Jusoh, iaitu Datuk Dr.Ahmad Ramzi Mohd Zubir, pada 28 November depan.

Perbicaraan kes tersebut menyaksikan lebih 20 saksi memberi keterangan mereka di mana kes itu dikendalikan Hakim M.Bakri Abd.Majid.

Dato’ Dr Ahmad Ramzi didakwa atas empat tuduhan menghantar ugutan jenayah menerusi SMS iaitu bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa mengancam mendatangkan kematian ke atas Adun Paka, Mohd Ariffin Abdullah pada pukul 11.21 malam, 13 April tahun lalu di E-726 Kampung Kubang Parit.


Tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang sama ke atas dua lagi Adun, Abd Halim Jusoh (Permaisuri) dan Dato’ Rosol Wahid (Ajil) antara pukul 11.21 dan 11.25 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Beliau turut didakwa atas tuduhan pilihan, menggunakan perkhidmatan internet bagi menghantar SMS berbunyi: "Baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?" kepada tiga Adun tersebut.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan jika sabit kesalahan, dia boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun.

Dr Ahmad Ramzi turut dituduh memfitnah Wan Ahamad Wan Muda, bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang kini memegang jawatan Timbalan Setiausaha kerajaan negeri dengan menghantar SMS ugutan itu menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Tertuduh diwaklili peguambela Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abdul Rahman manakala pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Shahidani Abd Aziz.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...