KUALA LUMPUR, 30 Ogos
(Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kemerdekaan
yang dicapai negara sejak 55 tahun lepas akan terus utuh atas teras
permuafakatan dan kerjasama daripada semua pihak.
Perpaduan nasional yang bertunjangkan kepelbagaian akan kekal menjadi tiang
seri kekuatan nasional, katanya dalam perutusan Hari Kebangsaan yang ke-55 yang
disiarkan di RTM di sini Khamis malam.
Najib berkata selama 55 tahun, "kita berjaya melangkau jangkaan serta
telahan yang dibuat pelbagai pihak, termasuk di kalangan warganegara sendiri,
dan terbukti, ramalan kononnya apa yang dimenangi bapa-bapa pengasas negara
secara aman serta bijaksana tidak akan mampu dikekalkan apatah lagi ditambah
baik," adalah meleset sama sekali.
"Jelasnya, dari satu titik ke satu titik, kita telah berjaya membawa
kebebasan dan keamanan kepada sebuah negara yang dahulunya terjajah dan
terancam," kata Perdana Menteri.
