GEORGE TOWN – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan isu wakil rakyat lompat parti akan dibawa ke mahkamah walaupun ia tidak termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan.
Menurutnya, tidak wajar bagi kerajaan Perikatan
Nasional (PN) mempertahankan tindakan wakil rakyat sedemikian sekiranya mereka
mendakwa sebagai sebuah pentadbiran yang berpegang pada prinsip-prinsip bersih.
“SEBAGAI SEORANG BERAGAMA ISLAM, MURTAD ITU TIDAK DIBENARKAN KENAPA
LOMPAT PARTI BOLEH DALAM POLITIK? Kami
akan tetap rujuk kes lompat parti ini ke mahkamah,” katanya pada sidang media
di Wisma DAP Pulau Pinang hari ini.
Mengulas isu yang sama, Guan Eng juga menyifatkan
kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berhubung isu lompat
parti jelas melanggar prinsip pemimpin partinya terdahulu.
“Kenyataan Takiyuddin itu memang tidak patut dan
jelas melanggar prinsip politik yang dipertahankan pemimpin Pas seperti
Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,” ujarnya.
Semalam, media tempatan melaporkan tindakan wakil
rakyat sama ada ahli Parlimen mahu pun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lompat
parti tidak boleh dihalang kerana perbuatan tersebut tidak bercanggah dengan
Perlembagaan Persekutuan.
Mengambil contoh Pulau Pinang yang melaksanakan
undang-undang Akta Anti Lompat Parti, Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan
Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata, pelaksanaan kerajaan negeri
itu tersekat kerana mereka perlu meminda Perlembagaan.
“Akta Anti Lompat Parti di Pulau Pinang tersekat
kerana pindaan Perlembagaan Persekutuan perlu dilakukan terlebih dahulu.
“Pengubalan akta berkenaan tertakluk kepada
perintah mahkamah yang sebelum ini telah memutuskan sebarang undang-undang
berkaitan anti lompat parti bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan
tidak sah,” ujar Takiyuddin. – MG
UNTUK RUJUKAN: KLIK DISINI