KUALA LUMPUR - Setakat pukul 2.30
petang hari ini, seramai 5,686 individu telah menandatangani petisyen dalam
talian yang MENDESAK SUPAYA PEGUAM, LATHEEFA KOYA
MELETAKKAN JAWATAN sebagai Ketua Pesuruhjaya
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Petisyen
melalui laman web www.change.org itu malah ditandatangani beberapa ahli dan PEMIMPIN
PAKATAN HARAPAN (PH) YANG TIDAK BERPUAS HATI terhadap
kaedah bagaimana Latheefa dipilih untuk mengetuai agensi membanteras rasuah
tersebut.
Selepas Ahli Parlimen Wangsa Maju
daripada PKR, Datin Dr. Tan Yee Kew yang mempromosikan petisyen tersebut dalam
akaun media sosialnya, tindakan sama dilakukan oleh Ahli Parlimen Setiawangsa
yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat Pusat PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Menurut Nik Nazmi dalam laman Twitter beliau malam
tadi, PH telah memberikan komitmen supaya pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM
disahkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC).
"Mari kita sama-sama tandatangan petisyen ini
agar komitmen ini dipenuhi. Isu ini lebih besar daripada Latheefa Koya, tetapi
tekad reformasi yang kita janjikan," katanya dalam akaun media sosial
tersebut.
Pelantikan Latheefa yang juga bekas ahli PKR
sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Selasa lalu mengejutkan ramai pihak kerana
merupakan satu lagi keputusan kerajaan PH yang dilihat TIDAK
MENGIKUT SEMANGAT JANJI-JANJI PILIHAN RAYA UMUM KE-14 (PRU-14) parti
berkenaan.
Tindakan itu juga BERTENTANGAN DENGAN USAHA
KERAJAAN PH untuk memperkasakan SPRM melalui mekanisme
pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang lebih telus iaitu hendaklah atas
pertimbangan PSC, dan prestasi penyandang Ketua Pesuruhjaya turut dinilai oleh
pihak berkepentingan luar.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad
bagaimanapun semalam menegaskan keputusan melantik Latheefa itu adalah
muktamad. - UTUSAN ONLINE