Ketua Pegawai Eksekutuif (CEO) Kumpulan AirAsia Tony Fernandes
meminta maaf kerana penampilannya dalam kempen pengerusi BN ketika PRU14 ketika
Datuk Seri Najib Razak menaiki pesawat penerbangan bertemakan manifesto
'Hebatkan Negaraku'.
Fernandes
berpendapat langkah itu boleh menyenangkan hati kerajaan, yang memberi tekanan
terhadap dirinya serta AirAsia disebabkan langkah syarikat itu menawarkan
diskaun tiket penerbangan pada hari pilihan raya 9 Mei dan sokongan terbuka Tan
Sri Rafidah Aziz untuk Pakatan Harapan.
Selain
manifesto 'Hebatkan Negaraku’, pesawat Air Asia juga tertera logo 'dacing' BN.
"Tanpa berfikir panjang saya berfikir dengan membuat video
itu yang saya rasakan agak neutral, berfakta dan pesawat dari Kota Kinabalu itu
akan menyenangkan kerajaan serta melindungi para pekerja kami dan yang lebih
penting, intipati yang membolehkan lebih daripada 80 juta orang terbang setiap
tahun dengan tambang murah.
"Mendapat tekanan
hebat, saya terpaksa akur. Ia tidak betul, saya akan sentiasa menyesalinya...Saya
memohon maaf sekali lagi kerana menyebabkan kedukaan dan kelukaan ini,"
kata beliau dalam hantaran di Facebook hari ini.
Pada 11
Mei lalu, ahli parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) Syed Saddiq Abdul Rahman
menyifatkan jutawan tersebut sebagai wira yang tidak didendang.
Beliau berkata Fernandes menerima tekanan kerana tindakan
serta keengganannya memecat Tan Sri Rafidah Aziz sebagai pengerusi syarikat
berkenaan kerana lantang mengkritik perdana menteri ketika itu, Datuk Seri
Najib Razak.
Pemimpin
muda BERSATU itu berkata bos AirAsia sebenarnya menerima tekanan untuk berbuat
demikian.
Menurut
Syed Saddiq, Fernandes antara orang pertama yang membantu Tan Sri Muhyiddin
Yassin apabila beliau "dihukum kerana bercakap benar kepada
kekuasaan".
"(Fernandes)
sekali lagi menjadi wira ketika AirAsia menawarkan diskaun tiket penerbangan
dan menambah penerbangan semasa tempoh pilihan raya.
"Ini memalukan beberapa orang dalam lingkungan Najib. Ia
menjadi lebih buruk apabila Parti Warisan Sabah (WARISAN) memuat naik poster
mengucapkan terima kasih atas langkah ini kerana ia bermakna lebih ramai
penyokong WARISAN dapat terbang kembali ke kampung halaman untuk mengundi.
"Ia
tidak berhenti di situ. Beliau enggan memecat Rafidah selepas beliau secara
terbuka mengkritik Najib Razak walaupun Tony ditekan untuk berbuat demikian.
"Tindakan
itu datang dengan harga dan beliau perlu membayarnya," kata Syed Saddiq.
Sumber: KLIK DISINI