MARANG - Pas mengakui sokongan ahli dan penyokong parti sahaja belum cukup
untuk membuat perubahan dan masih memerlukan banyak sokongan termasuk daripada ahli Umno.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul
Hadi Awang berkata, Pas menghadapi cabaran dan
gelombang politik yang banyak dalam tempoh 60 tahun.
"Walaupun demikian bukan
sahaja parti ini tidak mati tetapi cahayanya tidak padam. Bahkan ahli-ahlinya
makin bertambah.
"Untuk makluman semua...
tahun ini kita menerima ahli baharu yang sangat mengejutkan. Jumlah 41,000 ahli
baharu, tahun ini.
"Oleh kerana itu, jangan
bimbang ada mereka yang 'serpih' itu keluar parti kerana mereka yang masuk
parti lebih ramai," katanya.
Ahli Parlimen Marang itu berkata
demikian pada Jamuan Dana PRU14 Dewan Pemuda Pas Kawasan Marang di Dewan Tok
Guru di Rusila, di sini, malam tadi.
Beliau berkata, Islam adalah
seperti pokok subur dan rimbun, kalau dipotong dahannya bukan sahaja pokok
tidak mati, akan ditumbuh tunas dan cabang yang banyak.
"Hari ini kita mempunyai 195
kawasan daripada 222 kawasan Parlimen di seluruh negara bermakna sebahagian
besar kawasan Parlimen sudah ada kawasan Pas.
"Kita perlu sedar negara
kita yang mengamalkan demokrasi berparlimen memerlukan undi yang banyak untuk
mendapatkan kuasa.
"Kita
tidak boleh menang dengan ahli-ahli Pas sahaja, tidak boleh menang dengan
penyokong-penyokong Pas sahaja. Kita perlu pada orang lain mengundi kita.
"Sama ada orang atas pagar,
parti lain termasuk orang Umno sendiri mesti diajak mengundi kita untuk membuat
perubahan politik negara kepada Islam," katanya.
Ini kerana, katanya, Malaysia
sudah merdeka dalam masa cukup panjang iaitu 60 tahun merdeka namun banyak
perkara negatif dan membimbangkan berlaku.
"Ancaman kepada Islam dan
umat Islam, bukan kerana kita fanatik, taksub kepada Islam tetapi yang boleh
menyelamatkan negara dan umat ialah Islam," katanya.
Beliau berkata, politik sangat
mempengaruhi ekonomi dan masyarakat tetapi orang kita memandang ringan dalam
masalah politik ini.
"Seperti disebut ketua Pas
kawasan... pengundi muda lebih 50 peratus khususnya pengundi orang Islam yang
merupakan 67 peratus penduduk Malaysia. Kaum lain berpecah pecah
peratusannya," katanya.
Namun katanya, kesedaran orang
Islam berkenaan politik tidak kuat dan tidak matang, masih banyak kalangan
mereka termasuk orang muda sendiri merasakan politik tidak perlu dikisahkan dan
diambil kira sangat.
"Mereka tidak sedar bahawa
kenaikan harga barang, susahnya kos sara hidup, masalah jenayah dan masalah
salah laku ialah kerana salah politik, salah mengurus negara tidak berdasarkan
kepada dosa dan pahala diajarkan oleh Islam," katanya.
Sumber: KLIK DISINI