DAP akan mengadakan
mesyuarat tergempar esok di Kuala Lumpur untuk membincangkan arahan Jabatan
Pendaftaran Pertubuhan (RoS) supaya parti itu membuat pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) baharu.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata walaupun
masih belum menerima surat, DAP melihat arahan terbaru RoS itu sebagai satu
tindakan yang serius.
Menurutnya, pihaknya perlu meneliti isi kandungan
surat rasmi daripada RoS kepada DAP terlebih dahulu, sebelum menentukan
tindakan yang akan diambil parti.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sambutan
pengiktirafan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO di ‘The
Majestic Theatre’ di sini hari ini, beliau berkata keputusan muktamad
akan dibuat oleh CEC dalam mesyuarat esok namun ia tertakluk kepada kandungan
surat rasmi daripada RoS.
Dalam kenyataannya hari ini, Ketua Pengarah RoS, Datuk
Mohammad Razin Abdullah meminta DAP supaya mengadakan sekali lagi pemilihan
semula CEC kerana RoS mendapati pelantikan 20 anggota CEC dan pemegang jawatan
utama parti itu hasil pemilihan semula pada 29 September 2013, adalah tidak sah dari segi undang-undang.
Menurut Mohammad Razin, pemilihan semula itu
sepatutnya berdasarkan kepada senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan
mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15 Disember 2012, yang melibatkan
seramai 2,576 perwakilan dari 865 cawangan.
Lim, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, turut
mengakui bahawa keputusan RoS itu akan menjejaskan persiapan dan persediaan DAP
dalam menghadapi pilihan raya umum.
Katanya DAP berasa amat terkejut dengan kenyataan yang
dikeluarkan oleh RoS hari ini oleh kerana pemilihan CEC parti itu berlangsung
hampir empat tahun lepas namun sekarang baru pihak RoS meminta supaya diadakan pemilihan
baharu. – BERNAMA