Translate

08/07/2017

PERJUANGAN MAHATHIR DIDORONG KEPENTINGAN PERIBADI HANYA UNTUK MENYELAMATKAN LEGASI KELUARGANYA

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad membuat pusingan-U terbaru dan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri menunjukkan keadaan bekas perdana menteri itu yang panik susulan keputusan Kabinet untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kebenaran di sebalik kerugian Bank Negara sebanyak RM30 bilion dalam urus niaga mata wang asing semasa kepimpinannya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Dr Mahathir tahu bahawa dapatan RCI boleh membawa kepada
pendakwaan jenayah dan beliau tidak boleh membenarkan individu yang mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan kes itu, misalnya Anwar, untuk memberi keterangan terhadapnya.

"Adalah ironi bahawa Dr Mahathir kini memerlukan Anwar, orang yang beliau pecat dan penjarakan. Sama seperti beliau kini memerlukan Lim Kit Siang, seorang lagi yang pernah beliau penjarakan, disebabkan secara realiti, Kit Siang menguasai pembangkang oleh kerana DAP mempunyai majoriti kerusi Parlimen yang amat besar, manakala parti Dr Mahathir pula hanya ada satu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Najib menegaskan bahawa seperti yang Dr Mahathir sedia maklum, Anwar tidak boleh bertanding secara sah, jadi pusingan-U beliau bukanlah tentang pilihan raya umum akan datang.

"Perjuangan Mahathir didorong bukan oleh kepentingan negara, sebaliknya berkaitan kepentingan peribadi semata-mata. Beliau begitu taksub untuk menyelamatkan legasi keluarganya dan menjadikan anak lelaki beliau, Mukhriz Mahathir, sebagai perdana menteri," kata Najib.

"Mahathir mendesak Tun Abdullah Badawi meletak jawatan perdana menteri, kini beliau mendesak supaya saya pula meletak jawatan, dan akan mendesak pengganti saya supaya meletak jawatan sehinggalah anaknya menjadi perdana menteri, (tanpa mengira) apa juga kesannya terhadap Malaysia," kata Najib.

Menurut Najib, pusingan-U terbaru itu dibuat selepas 20 tahun Dr Mahathir mencerca Anwar dan menggunakan apa jua cara yang ada untuk menyingkirkan Anwar daripada proses politik, termasuk menahan beliau di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, yang telah pun dimansuhkan, mendakwa dan memenjarakannya serta menyokong kempen untuk menyerang akhlak Anwar.

"Beliau tidak mempunyai prinsip dan akan melakukan apa saja - termasuk bersekongkol dengan mereka yang dipenjarakannya, menggesa campur tangan asing terhadap negara demokrasi kita yang berdaulat, mensabotaj ekonomi negara, dan membuat 100 pusingan-U jika perlu untuk memanipulasi minda rakyat, sebagai satu cara untuk mencapai apa jua hasrat beliau.

"Anwar mungkin akan terpengaruh, tetapi saya percaya rakyat tidak. Sebab dengan hanya satu saja kerusi Parlimen, Pengerusi Pribumi tidak boleh membuat keputusan siapa yang akan menjadi perdana menteri. Ia sama sekali tidak demokratik," kata Najib.

Perdana menteri menegaskan bahawa tiada yang lebih penting daripada keperluan rakyat.

"Maka, kerajaan di bawah kepimpinan saya akan terus memberi tumpuan tidak berbelah bahagi terhadap kebajikan ekonomi, kesejahteraan sosial dan keselamatan semua rakyat Malaysia. Kepentingan mereka mesti sentiasa didahulukan, kami akan menunaikan semua janji kami," katanya.  -- BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...