Naib
Presiden PPBM Datuk Hamidah Osman hari ini menggesa tindakan disiplin diambil ke atas Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kerana
membuat beberapa “tuduhan tanpa asas” ke atasnya.
Hamidah berkata beliau akan menulis surat rasmi
kepada lembaga displin PPBM.
“Syed Saddiq tidak boleh membuat tuduhan liar dan
tidak berasas tanpa memberi sedikit pun bukti,” katanya kepada FMT.
“Saya harap lembaga displin akan bertindak kerana
jika diabaikan, dan ahli parti bebas menyerang satu sama lain secara terbuka,
parti akan musnah. Lebih-lebih lagi Syed Saddiq seorang ketua Pemuda,
jawatan penting parti.”
Pada 28 Mei,
Syed Saddiq menuduh Hamidah menjadi dalang di sebalik
tindakan 1,000 ahli PPBM di Perak keluar parti.
Beliau juga mendakwa Hamidah, yang pernah mengetuai
Wanita UMNO Gopeng, seorang hipokrit dan kecewa dengan Presiden PPBM, Tan Sri
Muhyiddin Yassin kerana tidak menamakannya pengerusi negeri Perak.
“Saya tahu dia (Hamidah) punca keadaan ini. Saya
akan berkata secara terus terang: Saya mahu Hamidah letak jawatan. Dia
perlu berhenti jadi pengecut dengan menghantar askarnya ke depan dan
mengorbankan orang yang baik bagi tujuan peribadi. Jika anda masuk parti
untuk jawatan, sila berambus,” kata Syed Saddiq kepada FMT.
Semalam, Syed Saddiq mengulangi tuduhannya dan
berkata Hamidah seorang agen UMNO.
Hamidah berkata beliau selama ini berdiam diri atas
kepentingan parti.
“Tetapi sudah 2 kali dia menyerang saya, dan ini
sudah keterlaluan. Siapa sebenarnya agen UMNO, dia atau saya?” soal
Hamidah.
Hamidah menambah, pertanyaannya menerusi pesanan
teks kepada Syed Saddiq tidak dijawab.
Hamidah menjelaskan, beliau bertemu dengan 1,000
ahli PPBM di Perak yang keluar parti dan menasihati mereka supaya kekal
menentang UMNO dan Datuk Seri Najib Razak.
“Syed Saddiq perlu berterimakasih kepada saya atas
inisiatif ini, jika tidak ahli akan pulang ke pangkuan UMNO. Dan dia perlu
berbuat perkara sama dengan ahli sayapnya yang meninggalkannya untuk ke Umno,”
katanya merujuk 200 ahli Pemuda PPBM yang meletak jawatan bulan lalu.
Sumber: KLIK DISINI