PETALING
JAYA - Ahli Umno dIingatkan supaya tidak menjadi seperti 'ketam
di dalam bakul' yang cuba melepaskan atau menaikkan
diri masing-masing dengan cara memijak orang lain, kata Timbalan Perdana Menteri,
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Naib Presiden Umno yang
menjalankan tugas timbalan presiden Umno itu sebaliknya meminta supaya anggota
parti itu bersikap seperti semut, yang sentiasa 'bersalam' dengan rakannya yang
lain apabila bersua.
"Masalah kita ini, semangat
macam ketam dalam bakul, ketam punya perangai apabila dalam bakul dia pijak
sesama sendiri sebab dia nak keluar daripada bakul dan selamatkan diri dia atau
menonjolkan dirinya.
Tetapi akhirnya kerana terpijak sesama sendiri, semua ketam itu mati sedangkan
sepatutnya ada seekor ketam yang boleh keluar dan mendapatkan bantuan untuk
menjatuhkan bakul itu agar semua ketam tadi dapat keluar," katanya semasa
berucap menutup persidangan perwakilan Umno Bahagian Kelana Jaya di sini hari
ini.
Ahmad Zahid berkata, beliau
membuat kiasan itu untuk mengingatkan anggota Umno bahawa masalah itu berlaku
dalam parti termasuk di Selangor.
Beliau berharap semua pimpinan di
peringkat negeri dapat bersatu demi merampas semula Selangor daripada
pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.
"Telitilah dalam-dalam kiasan
atau ibarat yang saya sebutkan tadi, mudah-mudahan kita dapat terjemahkan
semangat kebersamaan dan kekitaan kita," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid
menegaskan bahawa usaha mendapatkan sokongan pengundi di kawasan bandar
terutama di Selangor ini memerlukan pendekatan baharu menerusi teknologi media
sosial.
"Kita di Kelana Jaya kalau
mahu menang kena guna teknologi dan media sosial sebab orang di bandar suka
diketuk hatinya dan mindanya menerusi komunikasi media sosial bukan diketuk
rumahnya kerana itu akan mengganggu privasinya," katanya.
Ahmad Zahid turut meminta anggota
Umno di negeri ini untuk sentiasa bersedia menghadapi serangan pihak
pembangkang, selain serangan daripada musuh yang berada dalam Umno sendiri.
Katanya, serangan dari dalam itu
boleh berlaku apabila ada individu yang tidak berpuas hati kerana tidak
memperoleh apa yang dihajatkan seperti menjadi calon pilihan raya.
"Musuh luar kita kenal,
musuh yang menyerang kita kenal, serangan mereka dalam pelbagai isu, itu biasa
kerana ia lumrah politik.
Tetapi yang menyakitkan ialah
kawan-kawan yang menjadi musuh dari dalam terutamanya apabila dia mahu jadi
calon tidak dapat jadi calon dan frust menonggeng dan mulalah dia cucuk sana
cucuk sini, sabotaj sana sini," katanya.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid
turut mengumumkan peruntukan RM400,000 bagi membaik pulih dan menaik taraf
Dewan Budiman Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sunway di sini.-Bernama