MCA hari ini
menyifatkan dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa MCA pernah memohon jawatan timbalan
perdana menteri adalah mainan politik bekas perdana menteri itu dalam mencuba meraihkan sokongan pada pembangkang.
Menurut
Pengerusi Biro Keharmonian Agama, MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker, sebenarnya
partinya menyampaikan hasrat masyarakat Cina itu bertujuan ke arah penyelesaian
masalah masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam di negara ini.
“Ia sekadar
proses penyaluran hasrat penyokong dalam amalan demokrasi yang sihat.
“Tun (Dr)
Mahathir menyatakannya seakan-akan ia satu taboo semata-mata ingin provokasi
sentimen dan emosi masyarakat Melayu seakan-akan MCA melakukan sesuatu yang
salah dan DAP lebih mesra dan akur pada senstiviti orang Melayu.
“Tun (Dr)
Mahathir banyak salah fakta. (Datuk) Loke
Yuen Yow bukan timbalan menteri pada masa itu.
“Tiada salah
atau kesalahan sesuatu parti menyampaikan hasrat penyokong dan rakyat pada
masa-masa tertentu. Apabila keputusan dibuat, yang penting kita berpegang pada
disiplin dan tatasusila parti demi kewujudan harmoni,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Mahathir
berkata, MCA yang memohon jawatan timbalan perdana menteri selepas pada mulanya
mendakwa DAP yang membuat permintaan itu.
“Saya
dilaporkan berkata DAP telah meminta untuk dilantik jawatan timbalan perdana
menteri kedua.
“Saya ingin
perbetulkan kesilapan. Bukan DAP tetapi adalah MCA,” jelas beliau dalam blog.
Kata Mahathir,
permintaan itu dibuat oleh Timbalan Setiausaha Agung MCA Datuk Loke Yuen Yow
yang juga timbalan menteri di jabatan perdana menteri pada tahun 2009.
Mahathir turut
melampirkan laporan di laman web Jabatan Penerangan Malaysia yang telah
mengenengahkan permintaan Loke kepada Perdana Menteri Najib Abdul Razak.
Mengulas
lanjut, Ti berkata, proses lalu dan lampau adalah laluan sejarah semata-mata.
“Kita tidak
perlu mencungkil atau melontar pertukaran pendapat atau komunikasi lampau dalam
konteks dan lingkungan parti kepada umum semata-mata dengan niat politik
yang jahat.
“Inilah politik
jahat Tun M dalam mencuba mengeruhkan politik semasa untuk memancing undi,”
tambah beliau. – Malaysiakini.