MARANG - Bekas
Ketua Balai Polis Marang, Hussein Johari, 63 th, tidak pernah terfikir akan
berkongsi hidup dengan seekor burung merpati liar kini menjadi jinak selepas
mengubati kaki unggas itu yang patah.
Hussein masih ingat saat dia mula-mula menemui merpati diberikan
nama ‘bird’ itu dalam keadaan lemah di tempat letak kereta dalam kawasan
perumahan polis, Ibu Pejabat Polis Daerah Marang November lalu.
Merpati yang kelihatan lemah, kotor dan tidak mampu terbang serta
nyaris menjadi menu sekumpulan kucing liar cedera di bahagian kaki kanan dan
dibawa pulang ke rumah untuk diubati.
Hussein sebelum ini menetap di perumahan polis kerana isterinya
masih berkhidmat dalam pasukan.
Tetapi, itu kisah lebih dua bulan lalu dan kini kaki ‘bird’ sudah
pulih sepenuhnya namun burung merpati itu tetap enggan meninggalkan Hussein
walaupun diberikan kebebasan untuk kembali ke habitat asalnya.
Kini, apa sahaja rutin harian Hussein di kediaman baharu
didudukinya di Sungai Kerak di sini, turut menjadi rutin ‘bird’ walaupun dalam
masa sama Hussein turut memelihara beberapa ekor kucing di rumah baharunya itu.
Burung itu kelihatan seperti tidak mahu berpisah dari Hussein
malah roti Gardenia Butterscotch yang menjadi
antara menu sarapan kegemaran Hussein turut menjadi menu kegemaran ‘bird’ dan
dimakan bersama setiap pagi.
“Saya memelihara kucing sebelum ini, namun membela burung bukanlah
menjadi keghairahan saya tetapi perasaan itu berubah selepas menemui ‘bird’…
telatahnya sangat berbeza daripada burung-burung merpati lain.
“Bukan senang hendak menjinakkan burung merpati dalam tempoh
sesingkat ini. Burung ini sangat cerdik dan manja. Jika sebut kucing manja, itu
perkara biasa tetapi burung merpati manja, bunyinya agak pelik juga.
“Bayangkan kita dapat berkongsi meja makan sambil membelai haiwan
yang selama ini terbang bebas di udara, lebih-lebih lagi apabila ia menunjukkan
reaksi manja, susah untuk saya gambarkan keseronokannya,” katanya.
Ternyata sungguh bagai dikata bekas Ketua Balai Polis Marang itu,
apabila burung merpati yang diberi nama ‘bird’ itu dilihat sangat manja dengan Hussein,
apa sahaja Hussein lakukan di rumah baharunya itu akan ditemani merpati
berwarna gelap itu.
‘Bird’ juga akan mengeluarkan bunyi manja apabila bulu pelepahnya
dibelai sambil menyorongkan kepalanya ke jari tangan tuannya itu untuk mengasah
paruhnya tanpa kekok.
Ditanya pengalaman paling menarik membela ‘bird’, Hussein berkata,
walaupun seronok, sebagai pemilik burung itu dia perlu bersedia
berdepan dengan situasi kehilangannya kerana haiwan terbabit fitrahnya adalah
terbang bebas.
Sumber: KLIK DISINI
Shttp://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/kongsi-hidup-dengan-merpati-1.612794