Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir menerusi entri blog bertajuk 'Pemerintahan
Kuku Besi' mendakwa
Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Proton bankrap dan dijual dengan murah.
Katanya, Najib akan melakukan apa sahaja untuk memadamkan legasi
Dr Mahathir yang mencipta Proton sebagai industri automotif tempatan.
"Nama saya tidak boleh dikait dengan Proton. Proton hendaklah
dijual kepada orang asing 100% supaya industri kereta nasional dihapuskan.
"Hanya kereta import sahaja yang boleh dijual di Malaysia.
Jangan ada apa-apa yang dimula oleh saya. Biar hancur industri tempatan asalkan Najib puas hati," kata Dr Mahathir di blog
chedet.cc, semalam.
Walaubagaimanapun, blogger Annie menyatakan, prestasi Proton semakin merudum tambahan pula kebanyakan vendor
syarikat mendapat tender menerusi kenalan politik.
"Saya difahamkan kebanyakan vendor ini mendapat kerja dengan
Proton menerusi kenalan politik dan tidak kira betapa teruk prestasinya
membekalkan barangan kenderaan, mereka akan terus dikekalkan.
"Orang-orang Proton tidak boleh membuang mereka kerana mereka
akan menggunakan 'kabel' mereka untuk kekal mendapatkan kerja," kata
Annie.
Amalan kronisme ini juga dipersetujui Dr Mahathir sendiri yang
mengakui perkara berkenaan dalam entri blog terbarunya itu.
"Orang-orang Proton tidak dibenar bercakap dengan saya, dan
peniaga kenalan saya tidak dibenar mengadakan business (perniagaan) dengan
Proton," kata Dr Mahathir.
Jelas Annie, Dr Mahathir bersikap keterlaluan dengan menuduh
Najib ingin membunuh Proton ekoran ramai pekerja
pelbagai peringkat bergantung kerja dengan syarikat automotif berkenaan.
"Okay, mungkin benar Najib tidak berapa kisah dengan Proton
kerana ianya adalah bayi Dr Mahathir, tetapi saya sangsi bahawa Najib mahu
membunuh syarikat tersebut hanya kerana itu (bermusuh dengan Dr Mahathir).
"Puluhan ribu pekerja bergantung dengan Proton untuk meneruskan hidup dan saya tidak
fikir Najib begitu bodoh untuk bertindak sedemikian ditambah lagi dengan
pilihan raya umum yang begitu hampir," katanya.
Mengulas mengenai rasionalisasi DRB Hicom untuk menjual 51%
pegangannya dalam Proton kepada syarikat asing, Annie berkata, usaha tersebut
sekaligus dapat mengurangkan amalan kronisme dalam Proton seterusnya
meningkatkan kualiti binaan produk syarikat.
"Rakan niaga asing dengan kuasa mengawal boleh menendang
keluar vendor yang tidak berguna ekoran mereka tidak ditekan dari mana-mana
ahli politik.
"Mereka tidak akan kisah sekiranya terdapat mana-mana ketua
bahagian mengadu kepada Najib bahawa proksi syarikat sebagai vendor Proton
ditamatkan perkhidmatannya.
"Mereka hanya mahu membuat kenderaan yang terbaik dan mereka
boleh lakukannya tanpa vendor yang teruk itu," ujarnya.
DRB-Hicom sebelum ini menyenarai pendek beberapa syarikat untuk
dijual pegangannya dalam Proton termasuk Volkswagon AG's Skoda, Suzuki Motor
Corp, Renault SA dan Peugeot PSA Group.
"Kita perlu rasional dalam perkara ini.
"Diharap, salah seorang penasihat Dr Mahathir yang ikhlas
boleh memujuknya untuk menerima realiti mengenai Proton.
"Maka dengan itu, warga emas kacak ini tidak terlalu tertekan
diatas semua perkara.
"Tolonglah, dia sudah 92 tahun,
okay," kata Annie lagi.