SHAH ALAM - Tindakan PKR mahu meletakkan Adun Kajang, Datin Seri Wan
Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor boleh menyebabkan perpecahan
dalam PR.
Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, perpecahan
boleh diandaikan berlaku kerana pimpinan dalam PR selesa dan berpuas hati
dengan corak pemerintahan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Selangor.
“Saya hanya meramal dan
mungkin ini (perpecahan) akan berlaku memandangkan Abdul Khalid dilihat mampu mengurus
tadbir negeri dengan cemerlang dan tiada alasan untuk menukarkan Menteri Besar
Selangor.
“Jika meneliti rekod, Wan Azizah tiada pengalaman mengurus tadbir negeri
kerana tidak pernah dilantik menjadi menteri. Jadi timbul persoalan adakah Wan
Azizah berjaya mentadbir Selangor atau hanya dibayangi suaminya, Datuk Seri
Anwar Ibrahim," katanya, semalam.
Jelas Ahmad Atory, Wan Azizah juga tidak mempunyai pengalaman seperti
Abdul Khalid yang merupakan tokoh korporat serta mahir dalam selok-belok
pentadbiran dan ekonomi demi memastikan Selangor maju membangun.
“Wan Azizah juga tiada pengalaman ekonomi. Jadi kita tak pasti sama ada
Wan Azizah lebih berkesan untuk mentadbir Selangor atau lebih teruk daripada
Abdul Khalid.
“Apa yang kita lihat Ketua Umum PKR, Anwar hendak meletakkan isterinya
sebagai menteri besar semata-mata untuk meneruskan legasinya sahaja,” katanya.
Beliau berpendapat itu antara sebab Pas sepakat memberi sokongan supaya
Abdul Khalid dikekalkan.
Malah katanya, kebanyakan pengamal politik mempertikai tindakan Anwar
yang enggan mendedahkan beberapa polisi yang dibawakan Abdul Khalid yang
dikatakan tidak sesuai atau tidak berkesan.
“Apakah Wan Azizah boleh melancarkan polisi yang didakwa tidak berkesan dilaksanakan oleh Abdul Khalid? Mungkin rakyat juga tidak yakin pentadbiran Wan Azizah lebih lancar daripada pemerintahan Abdul Khalid,” katanya.
“Apakah Wan Azizah boleh melancarkan polisi yang didakwa tidak berkesan dilaksanakan oleh Abdul Khalid? Mungkin rakyat juga tidak yakin pentadbiran Wan Azizah lebih lancar daripada pemerintahan Abdul Khalid,” katanya.
Sumber:sinarharianonline