DAP
menyokong pertukaran menteri besar Selangor kerana tindakan Tan Sri Khalid
Ibrahim dalam isu melibatkan hal ehwal Islam menyerlahkan jiwanya sebagai
"nasionalisme Umno", kata Tan Sri Zainuddin Maidin.
Zainuddin
berkata, Khalid berhati-hati dalam perkara menyentuh kesucian dan kedudukan
Islam sebagai agama rasmi, sultan sebagai ketua agama dan kuasa majlis dan
institusi agama negeri.
"Hal
ini terserlah dalam masalah bible, hudud dan lain-lain. Jiwa Khalid masih
nasionalisme Umno," kata bekas menteri penerangan itu yang lebih
dikenali sebagai Zam.
Menulis
dalam blognya, bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu itu juga mengaitkan
kemarahan DAP terhadap Khalid dengan dakwaan budaya rasuah masyarakat Cina.
"Jawapannya
mudah sahaja dan tidak perlu analisis mendalam. Pemberi rasuah yang paling
besar di negara ini ialah orang Cina.
"Budaya
mereka baik dalam MCA atau DAP dan pada umumnya sama sahaja. Orang Melayu tidak
banyak wang untuk merasuah dan malu untuk melakukan sesama sebangsa,"
katanya.
Menurut
Zainuddin lagi, terdapat pihak yang mengharapkan "kemudahan" yang
dinikmati selama ini oleh kroni Umno, MCA, MIC dan lain-lain parti komponen BN
akan juga dirasakan mereka.
Bagaimanapun,
tambahnya, Khalid ternyata seorang profesional yang sukar dirasuah dan
dipergunakan dan ia amat mengecewakan mereka.