Keputusan PRU-13 berwibawa
PUTRAJAYA 8 Mei - Proses pengundian yang berlangsung dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 Ahad lalu, mempunyai kewibawaan dan boleh dipercayai.
Perkara itu diakui tiga kumpulan pemantau proses tersebut iaitu Pusat Kajian Polisi Awam (CPPS) dan Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli) serta Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas).
Pengerusi CPPS, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, secara keseluruhan keputusan pilihan raya yang diumumkan juga adalah sah.
Katanya, meskipun terdapat beberapa kecacatan kecil dilaporkan namun proses pengundian berjalan lancar dan dalam masa sama sukar mendapat proses yang 100 peratus sempurna.
"Selain itu, BN juga tidak berhadapan situasi Parlimen tergantung sebaliknya parti itu berjaya mendapat majoriti yang ketara dalam pilihan raya kali ini," katanya dalam sidang akhbar mengenai laporan Pilihan Raya Umum Ke-13 di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Eksekutif Ideas, Wan Saiful Wan Jan dan Pengarah Asli, Tan Sri Dr. Michael Yeoh.
Menurut Ramon, pemerhatian pihaknya di beberapa tempat mengundi di sekitar Lembah Klang juga tidak mendapati berlakunya sebarang penipuan.
Katanya, setiap proses berjalan lancar dan dipantau ejen parti masing-masing setiap masa. KLIK