Translate

05/03/2013

PKR didesak nyata pendirian laporan perisikan


KUALA LUMPUR 3 Mac - Parti Keadilan Rakyat (PKR) didesak menyatakan pendirian rasmi berhubung laporan agensi perisikan Filipina yang mengaitkan nama Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai dalang utama dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu.

Bekas Setiausaha Sulit, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari berkata, dalam konteks itu, Presidennya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail perlu menggalas tanggungjawab itu kerana dakwaan tersebut amat serius membabitkan soal menggadaikan kedaulatan negara.

Wan Azizah juga perlu memberikan penjelasan sama ada betul atau tidak Naib Presidennya, Tian Chua dan Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa ada pergi ke Filipina bulan lalu untuk bertemu pihak tertentu?

“Rakyat mahu tahu apakah tujuan pertemuan ini dan kaitannya dengan pencerobohan pihak asing di Lahad Datu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Perisikan tentera semalam mengesahkan terdapat pertemuan antara Ketua Pembangkang itu dan bekas pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari beberapa bulan lalu sebelum pencerobohan berlaku di Lahad Datu, Sabah.

Selain itu, agensi yang sama turut mengesahkan seorang pemimpin pembangkang Sabah, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan terlibat mengadakan pertemuan dengan Sultan Muidzullail T. Kiram iaitu salah seorang pemerintah Kesultanan Sulu juga beberapa bulan lalu sebelum kejadian berlaku.

Pendedahan ini menguatkan lagi dakwaan pihak perisikan tentera Filipina sebelum ini apabila secara terbuka mengaitkan nama pemimpin pembangkang itu sebagai dalang.

Belum pun terjawab isu dakwaan penglibatan pembangkang itu, Tian Chua pula mengeluarkan kenyataan bahawa insiden itu merupakan konspirasi UMNO bagi mengalihkan perhatian dan menakut-nakutkan rakyat.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...