Translate

12/03/2013

Iklim politik sudah berubah - Dr. M


MARANG  - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan iklim politik di negara ini kini sudah jauh berbeza jika dibandingkan dengan peristiwa 'tsunami politik' lima tahun lalu.

Beliau berpendapat, perubahan itu berlaku sejak Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri dengan pelbagai pendekatan yang menambahkan keyakinan rakyat yang beransur-ansur memihak kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Saya sedar sejak tahun 2008, ramai juga orang UMNO yang mengundi pembangkang kerana kecewa dengan kepimpinan. Bagaimanapun, keadaan sekarang sudah berubah dan saya yakin ia lebih baik daripada dulu," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri program Amanat Negarawan Kepada Rakyat di Dewan Majlis Daerah di sini hari ini.

Hadir sama isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar serta beberapa kenamaan lain.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir tidak menafikan kemungkinan BN akan merampas semula keempat-empat negeri iaitu Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang daripada tangan pembangkang selepas Pilihan Raya Umum (PRU-13) nanti.

"Saya lihat kemungkinan itu ada tapi dalam PRU-13 kita tak boleh cakap lagi tentang perkara ini sebab kita mungkin boleh menang atau boleh kalah. Tapi yang saya lihat, iklim (politik) sekarang ini jauh berbeza daripada dulu," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, jalan keluar bagi mengatasi masalah perpecahan yang kian ketara di kalangan orang Melayu sehingga begitu melemahkan mereka masih ada iaitu dengan memberikan kekalahan teruk kepada Pas dalam PRU-13.

"Adilkah dengan sewenang-wenangnya tiga juta orang Melayu (UMNO) dikafirkan sedangkan mereka beragama Islam. Selagi dia ada (Pas), selama itu kita akan terus berpecah, semakin lemah dan mengemis (untuk berkuasa)," ujarnya. - UTUSAN

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...