KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Karpal Singh akan terus berdepan pertuduhan
mengikut Akta Hasutan selepas Pejabat Peguam Negara memutuskan untuk meneruskan
pertuduhan itu terhadapnya.
Karpal didakwa mengeluarkan
perkataan-perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak, tiga tahun
lalu.
Jagdeep Singh Deo yang mewakili Karpal Singh, memberitahu mahkamah
bahawa pihak pembelaan mengemukakan surat representasi kepada Pejabat Peguam
Negara bertarikh 26 Julai.
"Bagaimanapun, pihak pembelaan menerima surat
dari Pejabat Peguam Negara bertarikh 26 Julai mengarahkan kami untuk meneruskan
pertuduhan itu," beliau memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah,
yang mendengar prosiding itu.
Pada prosiding hari ini, mahkamah juga
mendengar hujah daripada Karpal Singh untuk mengetepikan pertuduhan
hasutannya.
Dalam permohonannya, antara lain, Karpal Singh mahu mensapina
bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad, Anggota Parlimen Pasir Mas Datuk
Ibrahim Ali, Anggota Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim dan Anggota
Parlimen Pendang Datuk Osman Abdul, berhubung usahanya mengetepikan pertuduhan
itu.
Karpal Singh yang juga Anggota Parlimen Bukit
Gelugor, berhujah bahawa mengikut Artikel 8(1) Perlembagaan Persekutuan
menyatakan bahawa semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak
kepada perlindungan yang sama.
Katanya dia dituduh mengikut Seksyen
4(1)(c) Akta Hasutan 1948.
"Apabila dengan mengambil kira undang-undang
semasa, kerajaan berpindah kepada merampas kekebalan raja-raja dari penyelesaian
perundangan dengan penubuhan Mahkamah Khas dan menggubal Rang Undang-undang
(Pindaan) Perlembagaan 1993 pada 18 dan 19 Jan 1993 dalam perbahasan di Dewan
Rakyat," katanya.
Pada masa perbahasan itu, Dr Mahathir dan
Anggota-anggota Parlimen semasa perbahasan itu melakukan hasutan dalam skala
yang sangat luas tetapi tidak didakwa oleh Peguam Negara pada masa itu walaupun
tiada kekebalan bagi pendakwaan jenayah atas apa sahaja yang dikatakan di
Parlimen.
Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi berhujah berdasarkan
artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Peguam Negara
mempunyai kuasa budi bicara yang amat luas untuk memulakan, menjalankan atau
memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan.
Beliau berkata
di bawah Artikel 8(1) pula, walaupun ia bermaksud sesuatu undang-undang tidak
boleh mendiskriminasikan terhadap kelas atau orang tetapi sekiranya ada asas
yang rasional ia boleh dilakukan.
Azlina berkata hujahan Karpal mengenai
apa yang dikatakan Dr Mahathir dan Menteri-Menteri lain semasa perbahasan Akta
(pindaan) Perlembagaan 1993 di Dewan Rakyat pada masa itu adalah berbeza dengan
keadaan kes pada hari ini.
"Apa yang diperkatakan di Parlimen pada masa
tersebut adalah bagi tujuan perbahasan Akta semata-mata dan tiada tujuan lain.
Apa yang diperkatakan oleh mereka hanyalah dizahirkan di dalam Dewan Rakyat
sahaja.
"Berbeza dengan kenyataan pemohon (Karpal Singh) sepertimana
dilampirkan di dalam pertuduhan, ianya dibuat di dalam satu sidang akhbar yang
diadakan oleh pemohon dan dihadiri oleh para wartawan yang dijemput oleh pemohon
dan kenyataan pemohon juga diedarkan kepada para wartawan. Di samping itu
kenyataan yang dibuat oleh pemohon pada masa itu di dalam keadaan di mana
suasana politik yang tidak menentu di Perak," katanya.
Hujahnya, alasan
yang diberikan oleh Karpal bukanlah satu bukti yang menunjukkan bahawa telah
berlaku ketidaksamarataan perlindungan undang-undang kerana apa yang
diperkatakan oleh Karpal Singh dan Dr Mahathir dan Menteri-Menteri lain pada
masa itu adalah dua perkara dan tujuan berbeza dan dalam masa dan keadaan yang
berbeza.
"Permohonan ini adalah remeh, menyusahkan dan merupakan
penyalahgunaan proses mahkamah," katanya.