Translate

24/07/2012

'Jangan guna istilah bufet Ramadan'


Harga bufet Ramadan tinggi


KUALA LUMPUR 22 Julai - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberi amaran kepada hotel dan premis makanan di negara ini yang tidak mempunyai sijil halal supaya tidak menggunakan istilah bufet Ramadan sewenang-wenangnya.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, larangan penggunaan istilah bufet Ramadan bertujuan untuk tidak mengelirukan umat Islam terhadap status halal di premis makanan.

"Jakim ingin mengulangi larangan ini supaya semua pihak yang ingin mengadakan bufet Ramadan di premis mereka mematuhi peraturan. Sijil halal di negara ini hanya boleh diperoleh daripada Jakim dan Majlis Agama Islam Negeri.

"Larangan ini harus dipatuhi kerana ia berkait dengan kepercayaan dan ibadah puasa umat Islam ketika ini," katanya.

Justeru, katanya, Jakim mengingatkan pihak pengusaha supaya tidak mempamerkan logo halal atau sebarang ungkapan yang menunjukkan makanan yang dijual sebagai halal sekiranya tidak mendapat kelulusan halal daripada pihaknya.

"Pengguna Islam dinasihatkan supaya bijak memilih hotel dan premis yang menawarkan bufet Ramadan bagi mengelak diri daripada tertipu.

"Status halal hotel dan premis makanan di negara ini boleh diperiksa di laman webwww.halal.gov.my," katanya.

Dalam pada itu, Jakim turut bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam usaha meningkatkan pemantauan di seluruh negara.

Othman berkata, pemantauan yang akan dilakukan termasuk pemeriksaan terhadap pematuhan tempoh sijil halal yang berakhir pada 1 Julai lalu.

"Sekiranya peraturan itu tidak dipatuhi Jakim akan mengambil tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972.

"Kita juga sedang melengkapkan tiga kertas siasatan untuk diserahkan kepada KPDNKK untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, pada tahun ini, sebanyak 154 premis daripada 471 premis makanan termasuk dapur hotel yang dipantau telah dikenakan amaran.

Sementara itu, Jakim menerima sebanyak 1,487 permohonan persijilan halal daripada dapur hotel dan premis makan yang mana sebanyak 359 hotel dan 453 mendapat sijil pengesahan halal.

Jumlah itu termasuk 52 hotel dan premis makanan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpuar.

Bagi meningkatkan maklumat berkaitan status halal, Jakim juga mengadakan kerjasama dengan Persatuan Hotel Malaysia dan Persatuan Pemilik-Pemilik Hotel Malaysia.

"Sehingga kini kesedaran pihak pengusaha restoran dan hotel terhadap kepentingan mendapatkan sijil halal telah meningkat," katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...