Translate

24/07/2012

'Ingat penderitaan fakir miskin'

KUALA LUMPUR 22 Julai - Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd. Tamyes Abd. Wahid mengingatkan betapa sikap berlebih-lebihan sehingga mendatangkan pembaziran bukan sebahagian daripada ajaran Islam.

Sebaliknya ujar beliau, apa yang disarankan Islam adalah umatnya sentiasa berjimat-cermat terutamanya di bulan Ramadan bagi memastikan matlamat ibadah puasa dapat dicapai.

"Jika berbuka puasa dengan jumlah makanan berlebihan, bagaimana agaknya dapat kita merasa kesukaran fakir miskin dalam merasakan nikmat menjamah makanan setelah terpaksa berlapar dan dahaga akibat hidup dalam serba kekurangan?

"Sedangkan perkara itulah yang sepatutnya kita hayati dalam menjalankan ibadah puasa. Cukuplah makan sekadar perlu tanpa terlalu menurut kehendak nafsu," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Beliau dalam pada itu turut menasihatkan pihak pengurusan hotel agar turut menunaikan tanggungjawab sosial korporat dengan menjemput mereka yang kurang berkemampuan untuk berbuka puasa secara percuma.

"Anak-anak yatim serta golongan fakir mungkin tidak pernah menjejakkan kaki ke hotel, apa salahnya sesekali mereka dijemput merasai pengalaman berbuka puasa di hotel-hotel mewah sebagai salah satu daripada amalan bersedekah di bulan Ramadan," ujarnya.
Sementara itu, Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadot meminta umat Islam menilai beberapa perkara dalam menentukan lokasi dituju untuk berbuka puasa.

"Pertamanya, pastikan tidak wujud unsur-unsur pembaziran terutamanya berkaitan harga yang mahal. Tidak perlulah memilih lokasi yang memerlukan kita mengeluarkan berbelanja besar walaupun berkemampuan kerana Islam tidak menggalakkan perbuatan sebegitu.

"Keduanya pastikan tempat itu mempunyai suasana ibadah. Sebagai contoh, tempat untuk solat disediakan, hadirin terdiri daripada mereka yang menutup aurat, tidak berlaku pergaulan bebas antara bukan mahram serta mampu meningkatkan rasa kekeluargaan," katanya.

Beliau menambah, perkara seperti itu tidak seharusnya dipandang enteng kerana puasa di bulan Ramadan merupakan suatu ibadah yang melengkapkan rukun Islam.

"Kegagalan untuk bersederhana serta menitik beratkan ibadah lain mampu menjadi punca kepada kurangnya penghayatan 'roh' atau semangat Ramadan kepada sesetengah individu.

"Itu merupakan kerugian yang amat besar di bulan yang penuh keberkatan," ujarnya.

Dalam pada itu beliau tidak menafikan terdapat sesetengah restoran dan hotel yang berjaya mewujudkan suasana ibadah sesuai dengan kemuliaan Ramadan.

"Ada yang menyediakan tazkirah serta ruang untuk solat tarawih berjemaah. Tidak kurang juga yang memperdengarkan bacaan al-Quran serta selawat sebelum berbuka puasa.

"Ciri-ciri seperti inilah yang perlu diperbanyakkan. Malah ada kalanya ia mewujudkan suasana ibadah yang lebih baik untuk umat Islam berbuka puasa di situ berbanding di rumah," katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...