Translate

11/06/2012

Siasatan RM3 bilion disemak - SPRM

KUALA LUMPUR 9 Jun - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sedang menyemak status siasatan berhubung akuan berkanun bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Murad Khalid mengenai pemilikan 20 akaun induk oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

SPRM turut tidak menolak kemungkinan kes pemilikan akaun induk Anwar bernilai RM3 bilion yang pernah dirujuk kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) itu kali terakhir berada di bawah siasatan pasukan Polis Diraja Malaysia.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut namun enggan mengulas lanjut.

Dalam pada itu, sumber polis memberitahu, sebarang tindakan perlu dirujuk kepada BNM terlebih dahulu berikutan kes tersebut didedahkan oleh Abdul Murad pada 1999.

Semalam, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa SPRM supaya menjalankan siasatan ke atas pemilikan 20 akaun induk Anwar bernilai RM3 bilion.

Antara NGO tersebut termasuklah Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Mursyidul Am Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI).

Sementara itu di Kuantan, lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri ini mendesak SPRM menyiasat serta mengambil tindakan terhadap Anwar Ibrahim yang didakwa memiliki akaun bernilai RM3 bilion.

Desakan itu dibuat dalam satu perhimpunan aman yang dihadiri ahli- ahli NGO berkenaan di Taman Kerang di sini hari ini.

Antara NGO tersebut adalah Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Pahang, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang, Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kuantan dan Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Kuantan.

Turut serta dalam perhimpunan itu adalah Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Kuantan, Kelab Pemuda Bersatu Kuantan dan Badan Kebajikan Kemanusiaan dan Kemiskinan Sungai Karang (Bakkis).

Ketua Penerangan Perkasa Pahang, Muhammad Faiz Hashim berkata, siasatan segera perlu dilakukan terhadap ketua pembangkang itu yang disifatkan sebagai tindakan menyalahgunakan kuasanya semasa menjadi Menteri Kewangan dahulu.

Tambahnya, SPRM perlu membuktikan ketegasannya bagi membolehkan rakyat mempercayai badan itu mengambil tindakan tanpa mengira pangkat dan kuasa seseorang.

"Selama ini Anwar mengatakan pemimpin dan kerajaan mengamalkan kronisme, nepotisme, penyelewengan wang dan rasuah. Kali ini semua tuduhan tersebut terpalit pada beliau.

"Justeru, NGO Pahang mahu SPRM tidak memilih 'ikan bilis' sahaja untuk membuat siasatan sedangkan kes- kes besar terlepas begitu sahaja," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, generasi muda khususnya penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) begitu mengagung- agungkan Anwar kononnya sebagai individu bersifat tulen sedangkan banyak penyelewengan didakwa berlaku ketika beliau menjadi Menteri Kewangan.

Setiausaha PBPM Kuantan, Rafae Abdul Kadir pula berkata, Anwar menggunakan kedudukannya semasa menjadi Menteri Kewangan untuk kepentingan peribadi dan kroni demi mencapai cita-cita politiknya.

Justeru, beliau menyeru pihak bertanggungjawab tidak takut dan gentar untuk bertindak.

"Jika perkara ini tidak disiasat atau diambil tindakan, rakyat tidak yakin kepada kepimpinan kerajaan hari ini termasuk badan-badan yang bertanggungjawab menjaga keamanan negara," katanya.

Bagi Pengerusi GPMS Pahang, Wan Emril Wan Embong, siasatan segera penting untuk mendedahkan siapa Anwar sebenarnya yang selama ini menuduh pemimpin kerajaan melakukan rasuah dan kronisme.

Sumber:utusan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...