Khamis, 5 Januari 2012

Polis sedia hadapi Kempen Bebas Anwar 901

Image Detail
Polis sudah membuat persediaan rapi untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan berlaku jika penyokong pembangkang meneruskan rancangan mengadakan Kempen Bebaskan Anwar 901 pada 9 Januari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, pihaknya sentiasa bersedia 24 jam untuk menangani masalah jenayah dan apa sahaja situasi yang boleh mengugat keselamatan negara.


Beliau berkata, tahap kesiapsiagaan itu akan dipertingkatkan lagi jika berlaku ancaman daripada pihak tertentu seperti mereka yang mahu menyertai Kempen Bebaskan Anwar 901.

"Kita sentiasa bersedia (menjaga keselamatan) dalam tempoh 24 jam, cuma persiapan lebih daripada biasa akan dilakukan menjelang 9 Januari ini.

"Ini kerana menjaga keselamatan merupakan proses biasa, kerja polis. Namun, apa yang kita laku (tindakan) tidak perlulah dimaklumkan kepada orang ramai," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Menurut Mohmad, apa sahaja tindakan diambil adalah bergantung kepada situasi berlaku pada 9 Januari ini termasuklah keperluan menempatkan anggota untuk berkawal di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Jalan Duta.

Dalam pada itu, ujarnya, sehingga semalam, sebanyak 336 laporan polis diterima daripada pelbagai pihak yang membantah usaha pihak tertentu mengajak orang ramai menyertai kempen tersebut setakat ini.

Katanya, laporan polis yang bertambah sekali ganda itu menunjukkan ramai pihak di negara ini tidak menyokong kempen berkenaan.

"Berdasarkan jumlah laporan diterima, maka saya ingin nasihatkan pihak yang mahu menyertai perhimpunan itu supaya membatalkan hasrat tersebut.

"Apa gunanya mempertikaikan sistem perundangan yang sudah diguna pakai dan dipersetujui oleh semua pihak sedangkan perbuatan itu tidak memberi manfaat dan boleh menjejaskan kestabilan negara," ujarnya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...