KUALA LUMPUR 23 Julai – Gabungan NGO Malaysia melalui Setiausahanya, Ramli Mat Jurit melahirkan rasa kesal dan hairan dengan sikap Pemuda Pas yang hanya berdiam diri apabila Ketua Pemuda mereka, Nasharuddin Tantawi ditempelak serta dinafikan kebenaran kata-katanya oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh berkenaan hudud ketika debat beliau menghadapi Sekretariat ILMU, Ustaz Fathul Bari baru-baru ini.
Ketua Pemuda Pas, Nasharuddin Tantawi baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa Karpal setelah bergabung dengan Pas dalam Pakatan Pembangkang sudah mula bersikap lembut terhadap pendirian Pas untuk melaksanakan hukum hudud, ketika debat beliau bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda UMNO (ILMU) Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya baru-baru ini.
Bagaimanapun, selang beberapa hari selepas itu, Karpal secara terbuka membidas Ketua Pemuda Pas kerana memandai-mandai mengatakan bahawa pendiriannya terhadap perlaksanaan hukum hudud dan Islam sudah berubah dan Karpal tetap menegaskan bahawa pendirian beliau terhadap hudud tidak berubah sejak 20 tahun lalu.
Sehubungan itu, menurut Ramli, tidak hairanlah mengapa Karpal begitu berani dan dengan selamba mahu mengkritik secara terbuka mana-mana pemimpin Pas baik dari peringkat tertinggi sekalipun, kerana Karpal tahu Pas tidak akan berani untuk menyanggah kenyataannya itu.