Jumaat, 27 September 2013

Jangan anggap lebai, baik dan syumul tidak boleh ditegur

Ketua Pemuda PAS kalah pemilihan parti di kawasan sendiri

Suhaimi Saad berjaya menewaskan pencabarnya Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hasan (gambar) dalam perebutan jawatan Naib Yang di-Pertua Indera Mahkota pada pertengahan bulan ini.
Menurut laporan Astro Awani, Nasrudin yang memperoleh 60 undi di peringkat kawasan itu tewas kepada Suhaimi yang memperoleh lebih daripada 100 undi namun pendedahan ini tidak disahkan beliau yang masih belum mengetahui jumlah sebenar undi tersebut.
“Saya sebolehnya tidak mahu mengulas perkara ini kerana isu pemilihan PAS masih menjadi perbualan hangat.
“Kekalahan Nasrudin dalam pemilihan di peringkat kawasan kali bukanlah kerana unsur sabotaj tetapi pewakilan mahu Ahli Parlimen Temerloh itu lebih menyerlah di peringkat pemilihan PAS pusat,” kata Suhaimi ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Sementara itu, seorang penganalisis politik yang tidak mahu namanya didedahkan lega apabila dimaklumkan kekalahan Nasrudin di peringkat kawasan itu.
Katanya, kekalahan Nasrudin yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat itu adalah akibat sikap keras kepala dan tidak boleh ditegur pemimpin berkenaan.
“Saya setuju dengan kekalahannya. Ini membuktikan golongan profesional mempunyai peluang yang luas untuk memenangi pemilihan PAS di peringkat pusat.
“Ini pengajaran buat beliau dalam arena politik. Kena selalu bersederhana. Jangan anggap lebai, baik dan syumul tidak boleh ditegur.
“Ulama’ bukan maksum dan mereka perlu berdepan realiti,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Menjelang Muktamar ke-59, PAS akan mengeluarkan satu garis panduan untuk digunakan oleh pemimpin dan ahli parti itu bagi memastikan proses pemilihan parti berjalan dengan lancar.
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar mengatakan baru-baru ini garis panduan dibincangkan dalam mesyuarat biro politik parti bertujuan memandu ahli dan pimpinan parti bagi memastikan pemilihan berjalan lancar.
Garis panduan ini dibuat ketika ahli dan pemimpin PAS di seluruh negara sibuk bermesyuarat di peringkat kawasan masing-masing menjelang Muktamar PAS ke 59 pada 22-24 November depan di Shah Alam.
PAS dikatakan bimbang, tanpa garis panduan yang jelas, pihak tertentu akan menyusahkan mereka dalam kempen mereka.
Mahfuz berkata berkempen tidak salah tetapi menyerang calon lain ketika kempen adalah tidak beretika.
Beliau melihat media baru digunakan untuk menyerang pihak yang tidak senangi dan menghasilkan persepsi tidak baik di kalangan ahli dan pemerhati luar.
Menurutnya lagi, PAS akan membuat garis panduan bagi membantu semua calon yang ingin bertanding serta penyokong masing-masing supaya kempen mereka tidak menyusahkan dan memberikan imej buruk kepada parti.
Selain di peringkat pusat, ia juga akan membantu mesyuarat PAS di peringkat kawasan yang sedang berjalan sekarang. – 26 September, 2013

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...