KUALA LUMPUR 10 April - Apakah pelantikan
Menteri Besar Johor yang baharu akan mencetuskan konflik? Persoalan itu mula
diperkatakan apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, PARTI YANG MENANG PILIHAN RAYA BERHAK MENENTUKAN
SIAPA YANG LAYAK MENDUDUKI JAWATAN TERSEBUT?????
Ketika menegaskan perkara tersebut selepas
merasmikan Forum Kewangan Islam, di sini hari ini, Perdana Menteri berkata, “INI ADALAH HAL
POLITIK, SULTAN TIADA PERANAN. Peranannya ialah untuk parti yang memenangi pilihan
raya menentukan siapa patut mengetuai.’’
Bagaimanapun pengamal undang-undang
menyanggah kenyataan Perdana Menteri dengan menegaskan, Undang-undang Tubuh
Negeri Johor secara jelas menyatakan Sultan Johor mempunyai kuasa mutlak
melantik Menteri Besar.
Peguam, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz berkata, ia termaktub dalam Perkara
4(2)(a) Bahagian Kedua Perlembagaan Negeri Johor.
“Perdana Menteri dan parti
pemerintah boleh mencadangkan beberapa nama untuk menggantikan Menteri Besar Johor TETAPI HANYA SULTAN
JOHOR YANG BERHAK MELANTIK.
Sultan berada di atas parti pemerintah. Semua negeri begitu,” katanya ketika
dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden Persatuan
Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk
Zainul Rijal Abu Bakar berkata,
KUASA EKSEKUTIF NEGERI JOHOR TERLETAK KEPADA SULTAN DAN EKSEKUTIF MENJALANKAN
KUASA YANG DIBERIKAN SULTAN INI MENURUT PERLEMBAGAAN NEGERI JOHOR.
“Pimpinan parti yang mendapat kerusi
terbanyak boleh mencadangkan nama-nama untuk dipilih oleh baginda. Sultan
mesti mempertimbangkan nama-nama yang pada hemat baginda mendapat majoriti
dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Sultan juga boleh
mengetepikan keperluan perundangan Menteri Besar seorang Melayu atau Islam jika
baginda fikir ia perlu dilakukan,” katanya.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Bahagian
Politik dan Polisi Awam Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia
(UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, pandangan Dr. Mahathir itu
mungkin didasarkan kepada pengalaman beliau selama 22 tahun menjadi Perdana
Menteri bawah Barisan Nasional (BN) dahulu di mana kedudukan kerajaannya sangat
kuat sehingga istana akur kepada calon parti pilihan pemerintah.
“Namun sejak pemerintahan Tun Abdullah
Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak, terdapat beberapa keadaan di mana
sultan tegas menurut kuasa budi bicara baginda misalnya yang berlaku tahun
2008 di Terengganu di mana sultan enggan menerima Datuk Seri Idris Jusoh
sebagai calon Menteri Besar pilihan kerajaan, sebaliknya memilih Datuk Seri
Ahmad Said, ADUN Kijal.
“Dalam kes Menteri Besar Johor sekarang,
Sultan Johor mempunyai kuasa budi bicara untuk melantik seorang Menteri Besar
yang pada pandangan baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan,” katanya.
Sementara itu, berikutan kemelut yang
berlaku, UMNO akan mencadangkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan
Iskandar untuk membubarkan DUN bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.
Pengerusinya yang juga Ketua
Pembangkang, Datuk Ir. Hasni Mohammad berpendapat, cadangan
itu merupakan langkah terbaik untuk Johor kerana tiada calon yang layak menjadi
Menteri Besar daripada Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, jika Johor mahu terus bergerak
ke hadapan sekali gus mencapai usaha menjadi kuasa ekonomi baharu negara,
negeri ini memerlukan seorang Menteri Besar yang berpengalaman dan mampu
mentadbir negeri ini.
“Saya akan menulis surat kepada Sultan
Johor dan akan mohon menghadap baginda bagi mencadangkan supaya DUN dibubarkan.
Saya akan tunggu baginda tuanku pulang ke negeri ini dalam masa terdekat.
Langkah itu juga saya fikir akan
membolehkan rakyat membuat pilihan yang tepat dan tidak lagi memilih barisan
pemimpin kerana mahu mencuba-cuba, kita mahu lihat Johor terus maju ke
hadapan,” katanya di sini.