Perkara tersebut didedahkan oleh bekas Timbalan Setiausaha Kementerian
Kewangan, Datuk Othman Jusoh kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Ujarnya, keputusan untuk menjual saham TNB dan TM dilakukan di dalam
mesyuarat pada November 1994 dihadiri sendiri oleh bekas Setiausaha
Perbendaharaan, Datuk Seri Clifford Herbert, bekas Timbalan Gabenor BNM serta
Ketua Audit Negara.
Beliau walau bagaimanapun tidak ingat individu lain yang hadir dalam
mesyuarat berkenaan.
Katanya, penjualan saham berkenaan bagi menampung RIZAB
BNM YANG MENGALAMI KERUGIAN RM8.5 BILION.
“Penjualan saham milik kerajaan
dilakukan secara ‘senyap-senyap’ melalui Rashid Hussein Sdn Bhd. Tujuan mesyuarat ini adalah
untuk kerajaan ‘membantu’ BNM berhubung kerugian yang dialami BNM dengan
cara memindahkan saham-saham milik kerajaan dalam syarikat tertentu kepada
BNM,” kata Othman yang merupakan saksi ke-22 dipanggil untuk memberi
keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat kerugian forex
BNM.
Bekas Penasihat Bank Negara Malaysia (BNM) Tunku Abdul Aziz Tunku
Ibrahim menegaskan bahawa Dr Mahathir perlu dipertanggungjawabkan kerana
menjadikan Bank Negara sebagai sebuah kasino dengan memperjudikan wang negara
bermain spekulasi mata wang asing.
Menurut keterangan bekas Gabenor BNM Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, dagangan
forex BNM bermula tahun 1988 sehingga 1994 – melalui dua Menteri Kewangan, Tun
Daim Zainuddin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar dalam keterangannya kepada panel RCI sebelum ini kekal dengan
jawapan yang diberikan sewaktu menggalas jawatan Menteri Kewangan bahawa
kerugian BNM cuma RM5.7 bilion.
Walau bagaimanapun, keterangan
Anwar bercanggah dengan siri ceramahnya selepas dipecat dari jawatan Timbalan
Perdana Menteri bahawa kerugian BNM mencecah RM30 bilion.
Daim dalam pada itu bercakap kepada RCI bahawa beliau tidak tahu menahu
mengenai kerugian BNM pada 1988 dan 1989.
“Saya tidak tahu mengenai kerugian berjumlah RM772.3 juta pada tahun
1988 dan RM2.259 billion pada tahun 1989 yang dialami oleh BNM akibat urusniaga
Forex.”
Daim menjelaskan dia juga tidak tahu sama ada terdapat sebarang
perubahan dalam polisi BNM berhubung urusniaga Forex mulai 1988.
“Saya tak tahu siapa yang bertanggungjawab melaksanakan urusniaga Forex
di BNM pada 1984 hingga 1991, ” katanya.
Tambahnya lagi, Gabenor BNM pada waktu dagangan itu berlangsung, Tan
Sri Jaffar Hussein tidak pernah mengadakan perbincangan dengannya berhubung
kerugian yang dialami bank pusat berkenaan.
Sumber: Malaysian Digest